Persidangan Belia Sedunia: Aktivis belia suarakan komitmen negara isu perubahan iklim

Hafizi Rosli
April 23, 2022 12:52 MYT
Luqman dan Akid (gambar kecil) berada di Geneva bagi mengambil bahagian dalam Persidangan Belia Sedunia. - Foto/AstroAWANI
KUALA LUMPUR: Dua aktivis Kelab Belia Prihatin Malaysia tegas menyuarakan komitmen negara terhadap isu perubahan iklim di peringkat antarabangsa.
Mengambil bahagian dalam Persidangan Belia Sedunia di Geneva, Luqman Hakim Md Zim dan Akid Anuar turut berkongsi inisiatif yang dijalankan negara dalam memacu agenda tersebut.
Ia termasuk usaha yang dijalankan pertubuhan komuniti serta persatuan belia,
“Di Malaysia, para belia memainkan peranan yang sangat penting dalam mempromosi agenda hijau dan perubahan iklim.
"Ia termasuk memastikan kekayaan sumber asli dijaga, diurus secara mapan dan bertanggungjawab, untuk generasi akan datang," kata Luqman ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Persidangan tersebut adalah anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kofi Annan Foundation, berlangsung mulai 20 Apr lalu di Palais Des Nation, Pejabat PBB di Geneva, Switzerland.
Tumpuan utama persidangan adalah perkongsian mengenai usaha Malaysia meningkatkan penjanaan elektrik daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) melalui Pelan Pembangunan Penjanaan Pembekalan Elektrik 2021-2039 di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
Selain itu, turut dikongsi, pelaksanaan Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2020-2030 (Malaysia Lestari 2030) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Jelas Akid, persidangan ini juga menjadi platform bagi belia di seluruh dunia berkongsi idea dan pendapat untuk menangani perubahan iklim di setiap negara, serta kempen yang digerakkan.
Baginya, kunci utama untuk memastikan setiap kempen ini berhasil dan mendapat sambutan adalah dengan menggunakan pendekatan yang dekat dengan masyarakat.
"Penjelasan mengenai isu perubahan iklim dan pemanasan global ini harus bersifat dekat dengan rakyat, dan tidak terlalu teknikal serta perlukan kepakaran kursus.
"Ini kerana setiap inisiatif untuk menangani perubahan iklim ini perlu digalas semua lapisan masyarakat tidak kira mereka berada di bandar atau luar bandar," jelas Akid.
Persidangan yang menutup tirai pada Sabtu ini akan memutuskan satu resolusi sebelum digubal menjadi sebahagian daripada Piagam Belia Dunia dan dibentangkan kepada PBB.
#perubahan iklim #pemanasan global #Kelab Belia Prihatin Malaysia #Persidangan Belia Sedunia
;