'Persenda nama puteri Rasulullah, kelakarkah?'
Madiha Abdullah
September 2, 2020 10:09 MYT
September 2, 2020 10:09 MYT
NAMA yang mempunyai maksud terpuji, namun dijadikan bahan gurauan.
Ibu bapa instafamous cilik, Fatimah Omar Mukhlis, 6 tahun, kesal dengan tindakan sesetengah pengguna laman sosial yang masih mempersendakan nama anak mereka.
Biarpun pernah membangkitkan perkara sama beberapa tahun lepas, masih ada yang tidak sensitif dan menganggap perkara itu sebagai melucukan.
Lebih mengecewakan, 'gurauan' itu datangnya daripada mereka yang beragama Islam.
"Kami menamakannya Fatimah sempena nama puteri Nabi Muhammad S.A.W yang kita sayangi. Nama 'Fatimah' memberi nilai yang sangat tinggi kepada kami dan seharusnya untuk semua umat Islam.
"Menyedihkan kerana walaupun Allah telah melarang kita mempersendakan nama orang lain, masih ramai menganggap ini sebagai jenaka," tulis ibu bapanya dalam satu kemaskini di Instagram @thefamily.uk.
Mereka juga meluahkan rasa terkilan dengan persepsi masyarakat yang menganggap status sebagai public figure 'menghalalkan' seseorang menjadi mangsa buli siber.
"Jika anda rasa tindakan membetulkan nama anak perempuan kami tidak cool, terpulanglah. Tetapi, maaf, dalam situasi ini, kami bukan ibu bapa yang cool.
"Tolong henti sebarkan salah anggap bahawa sebagai seorang yang dikenali, kami kena terima semuanya termasuk dibuli, seolah-olah kami tiada perasaan. Sama ada dikenali atau tidak, kami tetap manusia biasa.
"Dan ya, kami sangat tersinggung dengan perkara ini. Cukup cukuplah," tulis mereka sambil menggunakan tanda pagar #namecallingisbullying.
Sebelum ini, ibu bapa Fatimah, Nor Ashila Mahamed Ismail dan Omar Mukhlis Azizan, pernah memuat naik video kanak-kanak itu menegur netizen yang memanggilnya dengan nama 'Timoh'.
"Jangan panggil Timoh...panggil Fatimah! Kalau panggil Timoh, panggil Fatimah semula!" kata Fatimah dalam video tular yang dimuat naik pada 2017 itu.
Bapa Fatimah berasal dari Kelantan dan ibunya berasal dari Thailand.
Keluarga itu kini menetap di United Kingdom.
#buli
#buli siber
#Fatimah
#Fatimah Omar Mukhlis
#gurau
#ibu bapa
#instafamous
#Instagram
#Islam
#jenaka
#Kelantan
#kesal
#laman sosial
#mangsa buli
#nama
#nama anak
#persenda
#salah faham
#terkilan
#Timoh
#United Kingdom