Perokok guna pita ukur bagi mengukur jarak 3 meter dari kedai makan
Astro Awani
Januari 1, 2019 21:35 MYT
Januari 1, 2019 21:35 MYT
ADEGAN perokok menggunakan pita ukur bagi mengukur jarak kedai makan dengan kawasan yang dibolehkan merokok, menarik perhatian netizen yang menggambarkan tindakan itu sebagai mencuit hati.
Menerusi video berdurasi 22 saat yang dimuat naik di laman media sosial Facebook, seorang perokok memegang pita pengukur manakala rakannya turut bantu mengukur jarak 3 meter seperti yang diarahkan Kementerian Kesihatan.
Seorang lelaki yang merakam adegan berkenaan turut menyatakan dengan jelas arahan tersebut.
“Kawan-kawan yang nak hisap rokok kena duduk jauh-jauh, ukur! Baru boleh. Tuan kedai pun tak bagi hisap rokok dalam kedai,” katanya.
Bermula 1 Januari 2019, semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak, adalah diwartakan sebagai tempat dilarang merokok.
Larangan itu adalah mengikut pindaan pewartaan tempat makan di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), bertujuan melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok.