Perniagaan trak makanan boleh dikembangkan melalui koperasi di Sabah
Bernama
April 20, 2017 12:40 MYT
April 20, 2017 12:40 MYT
Penubuhan koperasi bagi perniagaan trak makanan boleh mengembangkan perniagaan itu dengan lebih rancak di Sabah.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Hajiji Noor berkata melalui koperasi, pelbagai peluang perniagaan terbuka luas untuk diteroka secara berkelompok.
"Penglibatan rakyat secara berkumpulan dalam perniagaan trak makanan ini akan meningkatkan lagi sektor koperasi sebagai penyumbang berkesan dalam menjana pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika merasmikan seminar perniagaan trak makanan secara koperasi, di sini hari ini.
Seminar itu dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Unit Agenda Peneraju Bumiputera (Teraju).
Menurut Hajiji, gerakan koperasi semakin berkembang maju di Malaysia, termasuk di Sabah.
"Sebagai bukti kejayaan tersebut, sehingga 31 Dis 2016, sebanyak 1,374 koperasi didaftarkan di negeri ini dengan keanggotaan seramai lebih 335,000 orang.
"Model syer dan yuran terkumpul pula sebanyak RM157 juta, manakala aset dan perolehan masing-masing bernilai RM787 juta dan RM323 juta," katanya.
Hajiji turut berharap pengusaha trak makanan memanfaatkan maklumat perniagaan seperti spesifikasi kenderaan yang dibenarkan dan perihal pelesenan dan perundangan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melancarkan perniagaan mereka.
Terdahulu, Pengarah SKM Negeri Umar Sarim Saidin berkata perniagaan trak makanan mula popular di Sabah tahun lepas, dan SKM tampil untuk mengadakan program seminar itu bagi menggalak lebih ramai masyarakat di Sabah menceburi bidang itu, terutama dalam kalangan belia.
Beliau juga berkata koperasi trak makanan perlu bijak berunding dengan PBT untuk mendapatkan kebenaran meletak kenderaan mereka di kawasan yang menjadi sasaran perniagaan.
Seramai 400 peserta dari kalangan pengusaha makanan trak dan anggota pelbagai koperasi terlibat dalam seminar setengah hari itu.
-- BERNAMA