Pernah dihina, Awang kini popular

Bernama
Ogos 29, 2022 12:48 MYT
Youtuber Muhamad Sukri Sulaiman (kiri) nekad menjadikan insan istimewa Muhammad Hafizuan Muhammad Adam atau lebih dikenali sebagai Awang terkenal dan dihormati masyarakat. Gambar BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Sejak menonton sebuah video yang memaparkan seorang pemuda kurang upaya diejek dan dihina, penggiat YouTube atau Youtuber, Muhamad Sukri Sulaiman tekad menjadikan insan istimewa tersebut terkenal dan dihormati masyarakat.
Muhamad Sukri, 27, berkata selepas menonton video tersebut sekitar 2018, beliau terus menjejaki Muhammad Hafizuan Muhammad Adam, 28, atau lebih dikenali sebagai Awang.
Tujuannya ialah untuk menjadikan pemuda yang mengalami masalah pembelajaran itu sebagai seorang selebriti menerusi kemunculan dalam video terbitan syarikat produksinya, Sukri Sulaiman Production.
"Apabila saya tengok video di Instagram yang mengejek Awang (Muhammad Hafizuan) dengan perkataan yang tidak sedap didengar membuatkan saya berasa sangat marah dan sejak itu, impian saya tiada lain tetapi hanya ingin orang hormatkan Awang," katanya kepada Bernama di sini.
Muhamad Sukri berkata, beliau terpaksa menunggu selama setahun untuk mendapatkan Awang memandangkan ketika itu dia masih terikat dengan sebuah syarikat produksi lain.
"Setelah setahun dan syarikat produksi tersebut tidak lagi mampu menguruskan Awang kerana tiada pengambaran video dan tawaran pengiklanan produk, akhirnya saya berjaya membawa Awang mengikut saya pada hujung tahun 2019. Sejak itu, bermulalah perjalanan kami menghasilkan video bersama-sama," katanya.
Katanya, selain pengiklanan produk dan ulasan makanan serta perkhidmatan, kebanyakan video yang menampilkan Awang berkaitan isu semasa dan masyarakat seperti bola sepak serta kehidupan berumah tangga.
Antara karya yang mendapat sambutan luar biasa adalah beberapa siri video berjudul 'Durian Mustaqim' dihasilkan Julai tahun lepas yang memaparkan realiti semasa mengenai durian, termasuk harga yang tinggi, menjadi fenomena ketika itu di platform media sosial seperti YouTube, Facebook, Tik Tok dan Instagram.
Lebih membanggakan, pada 11 Ogos 2021 salurannya telah dianugerahkan 'Youtube Silver Play Button' selepas mencecah 100,000 pelanggan.
Menurut Muhamad Sukri, meskipun dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) lembam, Awang tidak sukar diurus, malah mudah mendengar kata dan memahami arahan yang diberikan.
Katanya, sikap pemuda itu yang spontan, jujur dan kelakar telah berjaya menambat hati peminat, sama ada dari dalam atau luar Terengganu.
"Dia tidak pernah bercakap kasar dengan sesiapa pun. Sekarang ini pergilah ke mana sahaja pasti akan ada yang menyapa Awang dan ingin berswafoto dengannya dan Awang akan melayan permintaan peminat dengan baik," cerita Muhamad Sukri.
Beliau juga bersyukur kehidupan Awang kini bertambah baik kerana sudah mempunyai pendapatan sendiri berserta caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), selain telah mengikat kontrak selama dua tahun sebagai duta bagi sebuah syarikat perniagaan emas yang terkenal.
"Sebelum ini Awang tidak ubah seperti kanak-kanak. Dia akan berjalan-jalan dan bermain seorang diri. Awang juga sangat obses dengan buaian dan akan menghabiskan masanya bermain buaian di taman permainan berdekatan rumahnya di Kampung Seberang Pintasan di Dungun," katanya sambil menambah ibu Awang yang menguruskan kewangan pemuda itu.
Impian untuk menjadikan Awang terkenal dan dihormati kini telah tercapai, namun beliau tidak dapat lari dari tohmahan segelintir masyarakat yang mendakwa kononnya beliau mempergunakan insan istimewa itu.
Walaupun berasa agak terkilan, Muhamad Sukri tidak menghiraukan perkara itu kerana yakin segala usahanya adalah demi membela nasib Awang dan inginkan pemuda itu berdikari.
"Sebelum kehadiran Awang saya sudah ada 300,000 pengikut di Facebook, saya juga memang telah lama menjadi Youtuber. Jadi anggapan segelintir pihak itu pada saya tidak berasas," katanya. - BERNAMA
#awang #YouTuber #Muhamad Sukri Sulaiman #nasib Awang berubah
;