KUALA TERENGGANU: Sejak menonton sebuah video yang memaparkan seorang pemuda kurang upaya diejek dan dihina, penggiat YouTube atau Youtuber, Muhamad Sukri Sulaiman tekad menjadikan insan istimewa tersebut terkenal dan dihormati masyarakat.
Muhamad Sukri, 27, berkata selepas menonton video tersebut sekitar 2018, beliau terus menjejaki Muhammad Hafizuan Muhammad Adam, 28, atau lebih dikenali sebagai Awang.
Tujuannya ialah untuk menjadikan pemuda yang mengalami masalah pembelajaran itu sebagai seorang selebriti menerusi kemunculan dalam video terbitan syarikat produksinya, Sukri Sulaiman Production.
"Apabila saya tengok video di Instagram yang mengejek Awang (Muhammad Hafizuan) dengan perkataan yang tidak sedap didengar membuatkan saya berasa sangat marah dan sejak itu, impian saya tiada lain tetapi hanya ingin orang hormatkan Awang," katanya kepada Bernama di sini.
Muhamad Sukri berkata, beliau terpaksa menunggu selama setahun untuk mendapatkan Awang memandangkan ketika itu dia masih terikat dengan sebuah syarikat produksi lain.
"Setelah setahun dan syarikat produksi tersebut tidak lagi mampu menguruskan Awang kerana tiada pengambaran video dan tawaran pengiklanan produk, akhirnya saya berjaya membawa Awang mengikut saya pada hujung tahun 2019. Sejak itu, bermulalah perjalanan kami menghasilkan video bersama-sama," katanya.
Katanya, selain pengiklanan produk dan ulasan makanan serta perkhidmatan, kebanyakan video yang menampilkan Awang berkaitan isu semasa dan masyarakat seperti bola sepak serta kehidupan berumah tangga.
Antara karya yang mendapat sambutan luar biasa adalah beberapa siri video berjudul 'Durian Mustaqim' dihasilkan Julai tahun lepas yang memaparkan realiti semasa mengenai durian, termasuk harga yang tinggi, menjadi fenomena ketika itu di platform media sosial seperti YouTube, Facebook, Tik Tok dan Instagram.
Lebih membanggakan, pada 11 Ogos 2021 salurannya telah dianugerahkan 'Youtube Silver Play Button' selepas mencecah 100,000 pelanggan.
Menurut Muhamad Sukri, meskipun dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) lembam, Awang tidak sukar diurus, malah mudah mendengar kata dan memahami arahan yang diberikan.
Katanya, sikap pemuda itu yang spontan, jujur dan kelakar telah berjaya menambat hati peminat, sama ada dari dalam atau luar Terengganu.
"Dia tidak pernah bercakap kasar dengan sesiapa pun. Sekarang ini pergilah ke mana sahaja pasti akan ada yang menyapa Awang dan ingin berswafoto dengannya dan Awang akan melayan permintaan peminat dengan baik," cerita Muhamad Sukri.
Beliau juga bersyukur kehidupan Awang kini bertambah baik kerana sudah mempunyai pendapatan sendiri berserta caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), selain telah mengikat kontrak selama dua tahun sebagai duta bagi sebuah syarikat perniagaan emas yang terkenal.
"Sebelum ini Awang tidak ubah seperti kanak-kanak. Dia akan berjalan-jalan dan bermain seorang diri. Awang juga sangat obses dengan buaian dan akan menghabiskan masanya bermain buaian di taman permainan berdekatan rumahnya di Kampung Seberang Pintasan di Dungun," katanya sambil menambah ibu Awang yang menguruskan kewangan pemuda itu.
Impian untuk menjadikan Awang terkenal dan dihormati kini telah tercapai, namun beliau tidak dapat lari dari tohmahan segelintir masyarakat yang mendakwa kononnya beliau mempergunakan insan istimewa itu.
Walaupun berasa agak terkilan, Muhamad Sukri tidak menghiraukan perkara itu kerana yakin segala usahanya adalah demi membela nasib Awang dan inginkan pemuda itu berdikari.
"Sebelum kehadiran Awang saya sudah ada 300,000 pengikut di Facebook, saya juga memang telah lama menjadi Youtuber. Jadi anggapan segelintir pihak itu pada saya tidak berasas," katanya. - BERNAMA
Bernama
Mon Aug 29 2022

Youtuber Muhamad Sukri Sulaiman (kiri) nekad menjadikan insan istimewa Muhammad Hafizuan Muhammad Adam atau lebih dikenali sebagai Awang terkenal dan dihormati masyarakat. Gambar BERNAMA
Jenazah ADUN Ayer Kuning selamat dikebumikan
Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Ishsam Shahruddin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, Ipoh pada 10.40 pagi ini
[TERKINI] SPRM tahan empat pegawai ada kaitan PM ke-9
SPRM menahan empat pegawai yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri ke-9 dan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Putrajaya.

SPRM tahan 4 pegawai bekas Perdana Menteri ke-9
Sumber rapat SPRM memaklumkan keempat-empat mereka telah mendapat perintah reman di Mahkamah Putrajaya.
Dividen KWSP dijangka lebih baik bagi tahun 2024 - Amir Hamzah
Prestasi memberangsangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada suku ketiga tahun lepas dijangka memberi pulangan yang baik dari segi dividen kepada pencarumnya
Guru tuisyen ditemukan maut dengan kesan kelar di leher, lengan
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata pengadu yang merupakan suami kepada wanita itu, membuat laporan polis berkenaan kejadian itu kira-kira 5.30 petang.
Notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning dihantar seawal Selasa - Speaker
Speaker DUN Perak akan menghantar pemakluman notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning seawal Selasa
Yellow House rasmi pembukaan premis baharu
Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Yellow House merasmikan pembukaan premisnya yang dinaik taraf di Kampung Ampang Campuran pada Sabtu.
Polis ditembak mati lelaki bersenjata di Amerika syarikat
Tindakan suspek dipercayai berpunca daripada tindak balas mangsa yang cuba mententeramkan suspek yang sebelum itu menjadikan beberapa kakitangan sebagai tebusan di sebuah hospital.
China kesan satu lagi varian baharu koronavirus
Penyelidik di Institut Virologi di China, di sini telah mengesan satu lagi varian Koronavirus baharu dikenali sebagai HKU5-CoV-2 yang disyaki berpotensi untuk merebak melalui manusia.
Kanak-kanak lapan tahun maut selepas bot terbalik di Panama
Menurut perkhidmatan sempadan kebangsaan Panama (Senafront), sebelum insiden, bot membawa 21 orang penumpang tersebut meneruskan perjalanan meskipun amaran cuaca buruk telah dikeluarkan.