Permaisuri Johor kongsi kisah keakraban dengan kenalan bangsa India
Astro Awani
Disember 3, 2018 08:03 MYT
Disember 3, 2018 08:03 MYT
PERMAISURI JOHOR, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa sedih baginda terhadap isu perkauman yang timbul susulan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield awal minggu lalu.
Menurut baginda, ketegangan yang berlaku itu membuatkan baginda terfikir mengenai rakan kenalan dan kakitangan berbangsa India yang menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian baginda sekeluarga.
"Dato' Subramanyam Balan dan Dato' Singaraveloo - doktor yang merawat keluarga kita. Mereka adalah sebahagian daripada pasukan perubatan yang membantu menjaga Jalil semasa menjalani rawatan kanser.
"Selama bertahun-tahun, apabila suami atau anak-anak saya sakit pada pertengahan malam, salah seorang daripada dua doktor ini yang akan tergesa-gesa datang untuk merawat kami.
"Mereka tidak mengira kekerapan atau waktu - sama ada sebelum tengah malam atau 3 pagi, mereka tetap mengunjungi kami.
"Apabila Jalil telah dikenal pasti menghidap kanser hati, kami dan Jalil merasa amat selesa dengan penjagaan kedua-dua doktor ini kerana menjadi kelaziman mereka merawat Jalil semasa kecil, wajah mereka merupakan wajah mesra yang dipercayai Jalil untuk menjaganya ketika sakit.
"Apabila Jalil menarik nafas terakhirnya, Dato’ Balan yang melihat waktu dan mengesahkan masa kematiannya," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook peribadi baginda pada Ahad.
Kisah Mohan yang menjadi 'rakan baik' anakanda baginda turut jadi perhatian Raja Zarith Sofiah.
"Apabila anak-anak saya masih kecil, dan jika suami bertugas di luar kawasan, saya akan meminta Mohan untuk tinggal di rumah kami kerana saya khuatir untuk berada di rumah yang berpenghuni hanya kanak-kanak dan pembantu wanita.
"Mohan tidak akan tidur sehingga kakitangan lain datang untuk bekerja pada waktu pagi. Saya menanam sepenuh kepercayaan kepada Mohan untuk menjaga kami anak-beranak dengan baik," jelas baginda.
Malah, kesetiaan yang ditunjukkan aide de camp (ADC) Sultan Johor iaitu Datuk Sugumaran amat memberi kesan kepada kehidupan baginda sekeluarga.
"Apabila saya bercuti di England pada tahun 2009, Datuk Sugumaran yang menjadi teman anak bongsu saya - membantu dia memilih epal dari pokok dan memberi makan itik di taman,"cerita baginda.
Tambah baginda, naskah pendek berkenaan dikongsi bagi menunjukkan penghargaan kepada perkhidmatan, persahabatan dan kesetiaan keempat-empat individu ini dalam keluarga diraja Johor.
"Ribuan terima kasih dari keluarga saya.
"Semoga Allah SWT terus melindungi negara kita dan memberi kita kedamaian serta cinta di antara satu sama lain sebagai rakyat Malaysia," kata baginda lagi.