Permainan video Nintendo Super Mario Bros dilelong pada harga RM2.7 juta

Astro Awani
April 4, 2021 09:49 MYT
Versi permainan ini mula dijual pada tahun 1986, tetapi Nintendo mengubah pembungkusannya pada awal tahun 1987. - Foto AP NEWSROOM
HAMPIR 35 tahun terbiar dan dilupakan, salinan permainan video Nintendo Super Mario Bros yang masih dalam bungkusan, dilelong pada Jumaat dengan harga AS$660,000 (RM2.7 juta).
Ini merupakan permainan video yang dijual pada harga paling tinggi, menurut siaran berita syarikat Heritage Auctions, yang menguruskan penjualan.
Syarikat yang berpangkalan di Dallas itu memaklumkan kartrij berkenaan dibeli sebagai hadiah Krismas pada tahun 1986, dan tidak disentuh sehingga penjual menemuinya semula pada awal tahun ini.
"Ia berada di laci bahagian bawah meja pejabat saya sejak hari saya membelinya," kata penjual yang tidak dinamakan dalam siaran media tersebut.
Versi permainan ini mula dijual pada tahun 1986, tetapi Nintendo mengubah pembungkusannya pada awal tahun 1987, jadi hanya sebilangan kecil yang berjaya dijual.
"Oleh kerana tempoh pengeluaran untuk salinan ini sangat pendek, menemui salinan lain daripada pengeluaran yang sama ini merupakan satu perkara yang sangat berharga ," kata Valarie McLeckie, pengarah permainan video Heritage Auctions.
Ia bagaimanapun bukan satu-satunya permainan video yang berjaya dilelong dengan harga tinggi. Kartrij Mega Man 1987 dijual pada harga AS$144,000 (RM596,000) manakala sorang pembeli membayar AS$102,000 (RM422,000) untuk salinan Mike Tyson's Punch-Out !! yang dihasilkan pada tahun yang sama.
Sebelum itu, salinan permainan Super Mario Bros tahun 1985 dijual dengan harga AS$114,000 (RM471,000).
#Nintendo Super Mario Bros #video #permainan video #Nintendo #lelong
;