Pereka fesyen Thierry Mugler meninggal dunia

Astro Awani
Januari 24, 2022 10:21 MYT
Thierry Mugler meninggal dunia di usia 73 tahun. -Reuters
PEREKA fesyen legenda Thierry Mugler dilapor meninggal dunia pada Ahad di usia 73 tahun.
Berita kematian Mugler dikongsi pasukannya yang meletakkan petak hitam pada profil Instagram peribadi berserta kapsyen yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan Perancis.
"Dukacita dimaklumkan pemergian Manfred Thierry Mugler pada Ahad, 23 Januari 2022.
"Semoga rohnya tenang," tulis kapsyen itu.
Punca kematian Mugler bagaimanapun tidak dinyatakan.
Pengumuman itu disambut dengan rasa terkejut dan dukacita di ruangan komen.
"Sangat menyedihkan. Mugler seorang yang genius," tulis Jennifer Tilly.
"Saya macam tidak percaya. Thierry sering menonjolkan daya kreativiti dan kebaikan," komen anak penyanyi Mick Jagger, Georgia May Jagger.
Dilahirkan pada 21 Disember 1948, di Strasbourg, Perancis, Mugler mula berjinak dalam arena rekaan fesyen pada era 1970-an dan mula dikenali dengan reka bentuk avant-garde yang dramatik.
Beliau kali pertama 'bersara' dari dunia fesyen pada tahun 2002.
Pada tahun 2010, Mugler melancarkan semula jenama Clarins sebagai Mugler, yang kini berada di bawah arahan kreatif pereka Casey Cadwallader.
Mendiang telah beberapa kali keluar dari persaraan, antaranya ketika mencipta kostum untuk Jelajah Dunia I Am... Beyonce 2009.
Pada 2019, dia mereka bentuk pakaian yang dipakai Kim Kardashian untuk Met Gala, yang diilhamkan oleh Sophia Loren dalam "Boy on a Dolphin".
#Thierry Mugler meninggal dunia #pereka fesyen terkenal #Jennifer Tilly #Beyonce
;