Pereka 'burung purple' tidak tolak gaya mengangguk bawa maksud 'gila'
Madiha Abdullah
Februari 16, 2017 08:00 MYT
Februari 16, 2017 08:00 MYT
BEBERAPA hari ini, netizen, khususnya pengguna Facebook, 'pening' dengan kemunculan seekor burung berwarna ungu yang membanjiri ruangan komen.
Burung itu menjadi pilihan ramai untuk ditinggalkan di ruangan komen, walaupun adakalanya ia nampak tidak kena dengan status yang dimuat naik.
Apa yang menjadi persoalan ramai adalah dari mana dan apa sebenarnya mesej yang dibawa oleh burung yang dipercayai burung merpati itu.
Mari kita lihat beberapa perkara yang diketahui tentang burung nakal ini.
APA
Menurut penjelasan di laman web knowyourmeme.com, burung tersebut dikenali sebagai Floppy Trash Doves, dan ia merupakan sebahagian daripada koleksi Facebook stickers.
Ia memaparkan burung Merpati itu dalam 24 situasi dan gaya, termasuklah gaya mengangguk yang menjadi pilihan ramai.
SIAPA
Sticker ini direka oleh Syd Weiler, seorang artis dan pereka grafik dari Amerika Syarikat. Ia mula dilancarkan 1 Februari lalu, dan mula tular di Thailand.
MAKSUD 'MENGANGGUK'
Ditanya mengapa burung itu menganggukkan kepala dengan gaya ala penyanyi heavy metal, Weiler memberitahu, gaya tersebut boleh melambangkan banyak situasi dan perasaan, antaranya gembira, teruja atau sedang berseronok.
Malah Weiler tidak menolak burung itu juga melambangkan emotionally disturbed, atau bahasa mudahnya, gila.
'MEME'
Lagak pelik burung itu, seperti biasa, mendapat perhatian netizen, sekali gus mencetuskan banyak reaksi yang menggelikan hati.