Perebutan gelaran juara Mini Ramp Adrenalin DC diteruskan
Ian Johan Ariff
Ogos 13, 2013 20:17 MYT
Ogos 13, 2013 20:17 MYT
Pusingan kedua Liga Mini Ramp Adrenalin DC akan berlangsung pada 7-8 Oktober 2013 di Padang MPK4 Kuantan.
Dapatkah Azreen Azman mempertahankan gelaran skateboarding dan Raja Ahmad Ashahri mengekalkan gelaran BMX?
Kedua-dua peserta yang mengutip 10 mata penuh selepas menjuarai kategori masing-masing, bakal dicabar lebih ramai atlet BMX dan skateboarding tempatan kali ini.
Sebelum ini ramai atlet sukan lasak Malaysia tidak dapat menyertai Liga Mini Ramp Adrenalin DC kerana mewakili negara dalam kejohanan peringkat Asia.
Jaguh BMX tempatan, Zafrin Shah yang mengesahkan penyertaannya pada pusingan kedua ini menjanjikan aksi lebih hebat dan saingan yang lebih kompetitif.
Sementara pakar "bowl" dan "vert" negara Arina Rahman juga akan turut serta pada pusingan kedua selepas pulang dari jelajah Eropah baru-baru ini.
Shahrul Nizam ataupun Sunny yang mendapat tempat kedua kategori BMX di Pulau Pinang dijangka mempamerkan aksi lebih garang pada pusingan kedua dengan terbinanya sebuah mini ramp di belakang rumahnya sebagai pusat latihan.
Saksikan bakat Arina pada pautan ini.
Aksi Zafrin Shah dirakam oleh Kayuh BMX.
Pastikan anda hadir untuk menyaksikan aksi hebat BMX dan skateboarding tempatan pada 7-8 September ini di Padang MPK4 Kuantan dari 10 pagi hingga 6 petang.