Percutian bersama rakan media

Amy Chan
Jun 21, 2013 08:27 MYT
SAYA tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia Timur dan apabila ditawar peluang bercuti, berasa cuak sekiranya kedatangan saya tidak menerima restu imigresen di sana.
Apa tidaknya, setelah terimbas semula peristiwa Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar ditahan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu beberapa minggu lalu kerana kehadirannya tidak disenangi.
Namun, beberapa rakan di pejabat memberi saya keyakinan untuk memenuhi hasrat melawat Negeri Bumi Kenyalang ini kerana saya bolehlah dikira rakyat marhaen bukannya ikon pembangkang.
Berbekal sokongan mereka, saya melapor diri di kaunter dafter (Check In) Syarikat Penerbangan Malindo Air di KLIA pada pagi 11 Jun lalu.
Peluang untuk melawat beberapa tempat tarikan pelancongan di Sarawak selama tiga hari dua malam ini telah dianjurkan oleh Malindo Air bersempena penerbangan sulungnya ke Sibu menggunakan pesawat Boeing 737-900ER.
Apabila tiba di Sibu, para penumpang disambut oleh Menteri Kewangan Kedua Negeri Sarawak, Datuk Wong Soon Koh, dengan iringan tarian penuh tradisi kaum Iban.
Setiap penumpang telah disarungkan kalungan manik dengan senyuman penuh kemesraan.
Semasa di Sarawak, rombongan seramai 16 warga media telah dibawa melawat tempat-tempat yang menarik di Sibu ditemankan pemandu pelancong Greatown Travel Sdn Bhd Fiona Tiong.
Amy Chan bersama rakan-rakan media.
Tempat pertama yang dilawati merupak sungai yang terpanjang di Malaysia, iaitu Sungai Rajang. Kami telah dibawa menaiki bot dari Terminal Penumpang Sibu untuk melihat sendiri keunikan sungai tersebut. Tidak hairanlah jika kelihatan banyak kilang balak di kiri dan kanan sungai tersebut kerana ia memang terkenal sebagai sungai yang menjadi laluan utama aktiviti pengangkutan balak.
Berkumpul dari Terminal Penumpang Sibu untuk menaiki bot ke rumah panjang.
Melalui jalan sungai ini, sampailah kami di salah sebuah Rumah Panjang kaum Iban. Di sini kami telah diberi amaran oleh Fiona agar berhati-hati ketika meminum air yang diberikan oleh penghuni rumah tersebut. Terperanjat juga saya pada awalnya, sehinggalah dia memberitahu bahawa air yang dihidangkan adalah air tuak yang mengandungi kandungan alkohol yang agak tinggi, iaitu sebanyak 8%.
Semasa berjalan memasuki kawasan perumahan kaum Iban ini, kelihatan bendang di kiri dan kanan namun tidak ditanam padi kerana ini bukan musimnya.Menurut Fiona, musim menuai padi sudah pun tamat dan kawasan sawah perlu "direhatkan" untuk seketika waktu.
Kanak-kanak yang menyambut kedatangan kami.
Kami disambut oleh penghuni rumah panjang dengan penuh istiadat. Ketua Rumah Panjang yang digelarTuai Rumah bersama enam gadis berpakaian tradisional kaum Iban beratur sambil memegang sebiji gelas bersama dengan sebotol air tuak, lalu menuangkan kepada tetamu yang memasuki rumah panjang tersebut. Ramai dalam rombongan kami yang beragama Islam menolak pelawaan meminumnya secara baik.
Tuai Rumah bersama gadis-gadis yang berpakaian lengkap orang Iban.
Dalam fikiran saya pada ketika itu adalah bagaimana untuk mengelakkan diri daripada meminum air tuak tersebut. Namun untuk menghormati mereka, saya pun memberanikan diri untuk meminumnya. Sungguh tidak disangka sebenarnya air tuak ini tidaklah seburuk yang diperkatakan. Sedap pula rasanya apabila saya mengambil gelas yang kedua. Air tersebut terasa manis dan apabila ditelan anda dapat merasakan kehangatan dalam kerongkong untuk seketika.
Air tuak atau arak beras adalah minuman beralkohol yang ditapai menggunakan beras pulut dan juga yis yang disediakan oleh kaum Iban dan merupakan minuman kemestian terutamanya semasa Hari Gawai iaitu perayaan kaum Iban.
Upacara tersebut juga diiringi dengan muzik tradisional yang mengasyikkan didengari dari dalam rumah panjang tersebut.
Menurut Puan Olivia Sebi Inpin yang dilahirkan di rumah panjang ini, tuak menjadi kemestian bagi kaum Iban apabila berkumpul setiap 31 Mei, tepat jam 12 malam kerana dipercayai dapat meningkatkan kesihatan mereka sepanjang tahun.
Puan Olivia Sebi anak Inpin ingin pulang menetap di sini suatu hari nanti.
"Pada setiap 1 Jun, setiap keluarga akan berkumpul pada masa yang ditentukan oleh Tuai Rumah Panjang untuk makan malam secara besar-besaran bersama dengan setiap ahli keluarga yang tinggal dalam rumah panjang tersebut," kata Puan Olivia.
Tuai Rumah dengan sungguh berbesar hati menunjukkan kepada kami upacara yang biasa dilakukan semasa Hari Gawai.
Upacara utama dinamakan Miring yang menjadi satu kemestian semasa Hari Gawai bagi menangkis perkara buruk atau nasib malang. Makanan yang menjadi bahan sembahan diletakkan dalam dulang untuk acara pemujaan.
Selepas itu, upacara ini akan diakhiri dengan istidada Ranyai di mana hiasan pada pelepah pokok yang ditegakkan di ruang tamu dikemaskan. Mereka akan memotong satu persatu buah-buahan ataupun bungkusan makanan yang digantung pada pokok itu.
Upacara Miring sedang berjalan.
Ranyai atau istiadat megemaskan pokok berhias.
Terdapat 25 pintu di dalam rumah panjang yang kami lawati. Ini bermakna terdapat seramai 25 buah keluarga dan kebanyakkan daripada mereka ini merupakan sanak saudara, ataupun mempunyai talian persaudaraan akrab.
Bertanya mengenai keselamatan di rumah panjang ini, Puan Olivia mengatakan bahawa mereka saling menjaga antara satu sama lain, oleh itu tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
Selain rumah panjang di situ, terdapat 15 lagi rumah panjang yang lain. Kami difahamkan ada di antara rumah tersebut mempunyai 90 pintu.
Apabila tiba ke ruang rumah milik Puan Olivia, saya sempat melihat koleksi barangan antik seperti belanga, mesin jahit dan gamelan yang telah dimilikinya sejak bertahun-tahun dahulu. Rumahnya kini hanya dihuni oleh ibunya berseorangan dan Puan Olivia sekeluarga tinggal di Sandakan kerana suaminya bekerja di sana. Namun ia menjadi kemestian bagi sekeluarganya pulang untuk menyambut Hari Gawai dan Hari Natal.
Penerbangan Ditaja Malindo Air
Malindo Air telah memulakan operasinya pada 22 Mac lalu dengan penerbangan sulung ke Kota Bahru, Pulau Pinang, Johor Bahru, Sibu dan destinasi terbarunya ke Miri. Pesawat digunakan jenis Boeing 737-900ER yang menawarkan skrin televisyen di setiap tempat duduk dan makanan ringan secara percuma.
Televisyen yang menawarkan filem, drama, permainan interaktif dan hanya mengenakan bayaran minima bagi mereka yang ingin membeli alat pendengaran pada harga RM15.
Snek ringan percuma Malindo Air.
Malindo Air menawarkan ruang tempat duduk seluas 32 inci dan 45 inci, masing-masing bagi kelas ekonomi dan kelas perniagaan.
Ruang tempat duduk yang luas dan selesa bagi mereka yang tinggi.
Penerbangan pertama Malindo Air ke Sibu, dari KLIA.
"Malindo Air dapat menjadi jaringan yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Sibu sebagai destinasi pelancongan yang juga bagus untuk pembangunannya," kata Datuk Wong Soon Koh yang ditemui semasa mengadakan sidang akhbar semasa penerbangan pertama Malindo ke Sibu baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Airways, Chandran Rama Muthy, berkata syarikatnya akan meluaskan penerbangan ke India dan China pada masa akan datang.
Dari kiri ke kanan: Chandran Rama Muthy, Datuk Wong Soon Koh dan Datuk Ed Sullaiman.
Ikuti juga perjalanan kami untuk hari yang kedua. Saya akan menceritakan pembuatan Tebaloi negeri Sarawak dan juga misteri tempat penginapan pelawat dan pusat kebudayaan Lamin Dana, Kampung Tellian.
#Amy Chan
;