Peragawati Halima Aden dedah rancangan jadi peserta Miss Universe berhijab pertama
Agensi
November 29, 2020 16:59 MYT
November 29, 2020 16:59 MYT
PERAGAWATI berhijab, Halima Aden mendedahkan dia merancang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan Miss Universe sebagai wakil Somalia.
Ia susulan luahan hatinya di Instagram sebelum ini, berkenaan identiti dan pemakaiannya, dan bagaimana dia lalai dalam menjaga imej berhijab yang dibawanya.
"Kolaborasi dengan American Eagle dan menjadi penghias majalah Vogue Arabia, merupakan tahap tertinggi dalam kerjaya saya tetapi saya sebenarnya tidak selesa dan saya seperti hilang identiti sebenar.
"Saya berazam untuk menjaga pemakaian dan hijab saya. Saya tidak akan menggadaikannya walau ditawar AS$10 juta sekalipun," katanya.
Aden juga menyatakan kekesalannya kerana membiarkan dirinya diperguna pihak tertentu atas alasan fesyen.
Penyertaan dalam Miss Universe, kata Aden, adalah titik permulaan untuk dia memperkenalkan semula siapa dirinya yang sebenar, serta perjuangannya.
"Saya mahu anda faham bahawa ini bukan bererti saya membuang impian sebelum ini, tetapi ini adalah permulaan saya yang sebenar," tegasnya.
Nama Aden menjadi sebutan selepas bertanding dalam pertandingan ratu cantik Miss Minnesota pada 2016.
Aden yang berpindah dari Kenya ke Amerika Syarikat ketika berusia 7 tahun, kemudiannya memulakan kerjaya dalam bidang peragaan.
Dia menjadi peragawati berhijab pertama memperaga di pentas peragaan di Milan dan New York, selain menjadi peragawati Muslimah berhijab pertama di muka hadapan majalah Sports Illustrated.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, personaliti, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Halima Aden
#New York
#Instagram
#Amerika Syarikat
#Milan
#peragawati
#Miss Universe
#shm
#weekender