Penyampai ERA pecah tradisi, jadi model catwalk KL Fashion Week 2024
Astro Awani
Ogos 4, 2024 18:00 MYT
Ogos 4, 2024 18:00 MYT
PENYAMPAI radio ERA diberi penghormatan untuk menjadi model catwalk bagi acara Kuala Lumpur Fashion Week 2024 bertempat di pekarangan Menara Berkembar Petronas.
Ia adalah usahasama dengan label pakaian terkenal Super Sunday, berbesar hati untuk memperagakan pakaian hasil rekaannya.
Pengurus Saluran Era Azah Sahrin berkata peluang ini tidak wajar disia-siakan kerana penyampai radio di bawah kendaliannya menjadi model catwalk pertama bagi stesen radio di Malaysia.
Ia sekali gus menyaksikan mereka memecahkan tradisi majlis peragaan fesyen pakaian yang sering memfokuskan model-model terkenal dan popular.
“KL Fashion Week amat berani ketengahkan penyampai radio sebagai model catwalk dan ia amat luar biasa.
“Ini kerana model dari penyampai radio ERA hadir dalam pelbagai saiz, rupa dan cara penampilan mengikut gaya masing-masing.
“Mesej yang boleh disampaikan ialah, semua orang berpeluang menjadi model catwalk dan ketepikan diskriminasi yang sering bermain di minda sesetengah pihak.
“Apa-apa pun ucapan terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada Super Sunday yang sudi membenarkan penyampai radio ERA memperagakan hasil rekaannya di pentas fesyen yang beprestij,” katanya.
Tambah Azah, antara penyampai radio ERA terlibat ialah Nabil Ahmad, Radin, Shasha, Muna, Hawa Rizwana, Fazziq, Ray dan bekas pemain bola sepak negara Safee Sali.
KL Fashion Week 2024 merupakan acara perhimpunan bagi pereka fesyen tempatan mempamerkan hasil rekaan masing-masing kepada umum.
Ia berlangsung selama seminggu iaitu bermula 29 Julai lalu.
#Penyampai radio ERA
#model catwalk
#Kuala Lumpur Fashion Week 2024
#stesen Radio Malaysia
#Super Sunday