Penunggang motosikal kuasa tinggi ingin cipta rekod
Bernama
September 7, 2018 06:00 MYT
September 7, 2018 06:00 MYT
15 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada Sabah Big Bikers Association (SBBA) akan cuba mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan menunggang motosikal sejauh minimum 1,700 kilometer dari Kuching, Sarawak ke Tip of Borneo di Kudat, Sabah dalam tempoh kurang dari 24 jam.
Rombongan 15 penunggang motosikal itu akan mula bertolak pada pukul 12.01 tengah malam, 15 September di Bulatan Monumen Kuching, Sarawak dan akan berakhir sebelum tengah malam (11.59 malam) di Globe, Tip of Borneo Kudat, Sabah, pada hari yang sama.
"SBBA mengambil peluang untuk catat rekod dalam "Malaysia Book of Records" dengan sasaran jarak minimum 1,700KM dalam tempoh kurang masa 24 jam.
"Oleh itu, kami (SBBA) meminta orang ramai terutamanya pemandu kenderaan agar memberi laluan kepada kami agar tiba di Globe, Tip of Borneo Kudat, Sabah pada masa yang dijadualkan," kata Ketua Rombongan SBBA Mohd Adnan Rosdin Mohd Ariff di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Timbalan Presiden SBBA Rithaudeen Md Ali yang mewakili Presiden SBBA Osman Ahmed berkata, konvoi berkenaan dilaksanakan bersempena sambutan Hari Malaysia dan akan membawa tiga bendera iaitu bendera Malaysia, Sabah dan SBBA.
Katanya, bilangan 15 anggota konvoi berkenaan merupakan simbolik kepada tarikh mereka ingin mencipta rekod pada 15 September itu.
Katanya perjalanan konvoi selepas berlepas dari Kuching ke sempadan Kalimantan di Entikong kemudian menuju ke Brunei sebelum memasuki sempadan negeri Sabah.
Ketika berada di Sabah, konvoi berkenaan akan turut melalui jalan Banjaran Crocker kemudian ke Kota Kinabalu, Kota Marudu dan mengakhiri tunggangan mereka di Kudat.
-- BERNAMA