Penulis komik tempatan terima pencalonan Anugerah Eisner

Agensi
Jun 6, 2020 08:21 MYT
Fried Rice yang menggambarkan kehidupan seorang gadis muda yang tinggal di Kuala Lumpur. - Foto paprikapeprica.carbonmade.com
Penulis komik tempatan, Erica Eng dicalonkan dalam Anugerah Eisner menerusi komik webnya, Fried Rice, yang menggambarkan kehidupan seorang gadis muda yang tinggal di Kuala Lumpur.
Diterbitkan di friedricecomic.tumblr.com, Fried Rice merupakan sebuah karya fiksyen autobiografi, menurut keterangan rasmi Eng di laman web itu.
Komik itu mempunyai 200 muka surat dan setakat ini, 40 halaman telah diterbitkan sebagai komik web mingguan.
Eng mengikuti jejak penulis komik Malaysia yang lain yang pernah diiktiraf Eisners, antaranya Reimena Yee yang dicalonkan menerusi karya The Carpet Merchant of Konstantiniyya pada 2018, dan Tan Eng Huat yang dicalonkan pada 2003 menerusi karyanya, Justice League Of America bersama DC Comics.
Fried Rice Comic akan bertanding dalam kategori Komik Web Terbaik. Ia akan disaingi Cabramatta oleh Matt Huynh, Chuckwagon at The End Of The World oleh Erik Lundy, The Eyes oleh Javi de Castro, dan reMIND oleh Jason Brubaker.
Anugerah Eisner, yang dianggap sebagai Oscar bagi industri komik, kebiasaannya akan dilangsungkan semasa acara Comic-Con International di San Diego, yang biasanya diadakan pada Julai.
Namun, acara itu dibatalkan tahun ini kerana pandemik COVID-19. Senarai pemenang akan diumumkan pada Julai, tetapi tarikh dan kaedah belum dimaklumkan.
#Anugerah Eisner #calon #Comic-Con International #COVID-19 #Eisner #Erica Eng #Fried Rice #komik #komik web #San Diego
;