Pentherafobia adalah perasaan takut pada ibu mertua. Apakah pula fobia anda?

Asyraf Roslan
November 1, 2018 09:00 MYT
Setiap manusia di dunia mempunyai fobia mereka yang tersendiri.
FOBIA merupakan suatu rasa berlebihan yang dirasakan seseorang individu. Biasanya ia berlaku kerana rasa trauma pada sesuatu keadaan, yang memberi kesan melampau terhadap individu tersebut.
Setiap manusia di dunia mempunyai fobia mereka yang tersendiri.
Kadangkala kita menganggap sesetengah fobia itu tidak masuk akal atau mungkin dilihat sebagai sesuatu yang lawak. Namun, rasa takut itu adalah nyata bagi yang menghadapinya.
Astro AWANI akan berkongsikan bersama anda beberapa jenis fobia yang ada di dunia ini, dan anda mungkin salah seorang yang mengalaminya.
Ombrofobia
Bila hujan membasahi bumi, sudah pasti ramai antara kita menyukainya kerana ini merupakan saat yang paling nyaman untuk tidur dan juga berehat.
Namun, tidak bagi mereka yang menghidap ombrofobia. Mereka akan berasa takut dan sekiranya mereka terkena air hujan, mereka mungkin akan menjerit atau hanya akan duduk di rumah sahaja.
Ergofobia
Anda tidak suka bekerja. Tapi itu bukan sebabnya.
Anda sebenarnya boleh menjalankan tugas tetapi anda akan mula risau apabila anda perlu bekerja dengan orang ataupun terlibat dalam satu kumpulan, menjadi ketua kumpulan mahupun bercakap di depan orang ramai semasa pembentangan kerja.
Trypofobia
Pernahkah anda merasa geli atau takut dengan sesuatu yang berlubang? Jika anda berasakan ketakutan ini, anda mungkin seorang penghidap trypofobia. Orang yang mempunyai fobia seperti ini tidak akan selesa melihat pokok bunga teratai, donut, atau apa sahaja objek serta struktur yang mempunyai lubang.
Glofobia
Majlis hari ulang tahun kelahiran dan apa jua keraian yang meriah lazimnya akan dihiasi belon-belon yang cantik. Sementara ramai yang menyukainya, mereka yang mempunyai glofobia pula akan berasa tidak selesa dan takut. Orang yang mempunyai fobia ini tidak mahu dekat dengan belon itu kerana mereka berperasaan risau ia akan meletup.
Pentherafobia
Bagi anda yang sudah berkahwin, sekiranya anda takut kepada ibu mertua anda, anda mungkin menghidap pentherafobia. Apabila perlu berdepan ibu mertua anda, biasanya penderita fobia akan merasa cemas, takut dan mual kerana dia berasa bimbang akan melakukan perkara-perkara yang memalukan.
Bromidrosifobia
Secara semula jadi, anda berasa malu apabila badan anda berbau kerana berpeluh berlebihan. Tetapi, bagi penghidap bromidrosifobia, mereka berasakan masalah ini suatu masalah besar. Mereka sentiasa dihantui kerana takut akan dipinggirkan hanya kerana bau badannya sangat kuat.
Catoptrofobia
Sekiranya anda takut kepada cermin, anda mungkin penghidap catoptrofobia. Ketakutan yang anda alami biasanya dikaitkan dengan kepercayaan tertentu. Anda takut apabila melihat cermin kerana anda membanyangkan nasib buruk akan menimpa, malah ada yang berasa takut jika tersedut lalu terperangkap di dalam cermin tersebut.
Haphefobia
Penghidap haphefobia akan berasa cemas, tidak selesa, mual, panik dan berpeluh apabila disentuh oleh orang lain kerana mereka merasakan terdapat pelanggaran ruang privasi mereka. Walaupun sekadar sentuhan atau perlanggaran biasa, ia boleh memberikan tindak balas negatif. Mungkin orang yang mengalami fobia ini pernah mengalami trauma seperti pencabulan atau keganasan fizikal terhadap mereka.
Decidofobia
Fobia ini membuatkan seseorang tidak mampu untuk membuat keputusan. Penghidap decidofobia biasanya cenderung untuk meninggalkan keputusan dalam kehidupan mereka kepada ibu bapa, pasangan, rakan-rakan atau organisasi di sekitar mereka. Biasanya, orang yang mempunyai decidofobia mengalami trauma kerana mereka pernah mengalami peristiwa gelap berkaitan dengan membuat keputusan dalam hidup mereka.
Venustrafobia
Semua pasti suka dengan gadis yang cantik. Tetapi tidak bagi seorang lelaki yang menghadapi venustrafobia, kerana dia sebenarnya berasa takut kepada wanita cantik. Biasanya, fobia ini timbul kerana dia mengalami trauma atau peristiwa buruk melibatkan wanita cantik yang pernah mereka kenali.
Sebenarnya ratusan lagi jenis fobia dalam dunia ini yang sedang dialami oleh individu tertentu. Yang pasti, bagi yang mengetahui situasi fobia orang terdekat seperti pasangan, ahli keluarga, rakan atau teman pejabat, janganlah mempermainkannya.
Kita harus menghormati, memahami dan tidak menjadikan fobia sebagai bahan lawak terutamanya ke atas mereka yang menghadapinya.
#Astro Awani #fobia #Kenali Fobia ANDA
;