Pentas MyCATS kembali, sedia platform untuk rakyat Malaysia
Malik Ridhwan
November 11, 2016 22:54 MYT
November 11, 2016 22:54 MYT
Buat tahun ketiga berturut-turut, Pentas Seni Kreatif Malaysia atau The Malaysian Stage for Creative Arts (MyCATS) kembali ke ibu kota United Kingdom (UK).
Bertindak sebagai platform untuk rakyat Malaysia di UK mengetengahkan bakat kreatif dan artistik mereka, inisiatif oleh Kelab UMNO London (KUL) ini mengubah perspektif masyarakat bahawa KUL bukan hanya sekadar agenda intelektual dan politik tetapi sebuah badan pelajar yang mementingkan budaya seni kreatif dalam bidang seni.
Diadakan di Pentagon Hall, Globe Academy London, penganjuran tahun ini menyaksikan penyanyi tempatan Aizat Amdan membuat persembahan khas di pentas MyCATS 2016.
Selain Aizat, Persatuan Musik Malaysia – Manchester dan empat pelajar dari pelbagai universiti di UK turut menyajikan penonton dengan persembahan yang berunsurkan nilai percintaan, patriotism dan perpaduan.
Bertemakan Sayang Malaysia, Aliff Asyraf, Hariez Fadzillah, Ayuruhaiza Ayub dan Adam Anazim memberanikan diri untuk menggunakan pentas MyCATS untuk mempamerkan bakat mereka dalam bidang muzik.
Menurut Pengarah Projek MyCATS 2016 Aina Rokman, MyCATS tidak hanya berfokuskan kepada melahirkan golongan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kerjaya semata-mata tetapi juga aktif dalam aktiviti kesenian.
“Platform seperti ini dapat melahirkan kumpulan pelajar yang berani untuk mengejar impian dan merealisasikan bakat unik masing-masing,” kata pelajar ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi di Universiti Essex itu.
Sementara itu Pengerusi KUL Afeera Amran berkata, MyCATS merupakan inisiatif yang membawa refleksi kepada nilai keakraban dan kesepaduan komuniti dan pelajar Malaysia di kota London.
“Program ini mendatangkan manfaat bukan sahaja buat mereka yang hadir tetapi juga untuk nama Malaysia secara amnya. Saya berharap program seperti ini bakal diteruskan lagi di masa akan datang,” kata pelajar tahun dua jurusan undang-undang, Universiti Essex itu.
Turut hadir di MyCATS 2016, Pengarah Education Malaysia United Kingdom dan Ireland Prof Madya Dr Zainal Abidin Sanusi. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada KUL kerana berjaya mengadakan sebuah acara yang berwawasan untuk rakyat Malaysia yang menetap di London.
“MyCATS merupakan satu platform besar dalam mengangkat nama negara ke tahap yang lebih tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.
Acara yang dihadiri hampir 400 pengunjung itu sememangnya satu lagi kejayaan bagi KUL yang pasti akan kembali dengan acara yang lebih menarik dan besar pada tahun akan datang.