Pengusaha hotel simpan 500 koleksi telefon bimbit lama

Sinar Harian
September 12, 2023 10:10 MYT
Azizol menunjukkan pelbagai jenis koleksi telefon bimbit lama yang masih dalam simpanannya pada masa kini. - Foto Sinar Harian
SABAK BERNAM: Seorang pengusaha sebuah hotel di sini menyimpan kira-kira 500 koleksi telefon bimbit lama yang pernah popular suatu masa dulu.
Azizol Dollah, 49, memiliki koleksi telefon bimbit bukan pintar antaranya jenis Nokia 3210, Nokia 2210, Nokia 6150, Motorola D688, Motorola Micro 168VA, Ericson S868, Samsung N188 dan Motorola DB890 Dual Band.
Menurut Azizol, kebanyakannya koleksi itu dibelinya sendiri semasa bekerja di sebuah hotel di ibu kota kira-kira 30 tahun lalu.
"Saya terlalu obses untuk memiliki telefon bimbit pada masa itu dan menyimpan duit bagi memenuhi hobi berkenaan," katanya ketika ditemui pada Isnin.
Menurut Azizol, minat sama dikongsi isterinya, Norzahidah Bakar, 37, yang bersama-sama menyimpan koleksi telefon itu yang kini secara puratanya bernilai kira-kira RM200,000.
"Pada waktu itu, telefon bimbit lama memang mahal hingga harganya mencecah ribuan ringgit, tetapi akibat taksub dengan kecanggihan teknologi masa itu kami usahakan memilikinya," jelasnya lanjut.
Beliau memberitahu, telefon bimbit lama mempunyai kelebihan tersendiri dari segi reka bentuknya yang unik dan mudah dikenali.
"Paling penting, kelebihan telefon bimbit lama lebih lasak, bateri tahan sehingga seminggu selain diiringi permainan asas Snake, Space Impact dan Bantumi," jelas Azizol.
Katanya, kebanyakan telefon bimbit lama dipenuhi butang pada peranti berbanding telefon pintar pada masa sekarang yang menggunakan skrin sentuh.
"Kalau dulu, telefon bimbit ini boleh dilihat pelbagai bentuk dan diberikan nama lain lebih mudah antaranya sabun, daun, sembilu, nokia pisang dan nokia tiga tiga sekupang," tambahnya.
Bagaimanapun Ujar Azizol, minatnya mengumpul telefon bimbit semakin berkurang selepas kemasukan telefon pintar pada sekitar tahun 2009.
Katanya, koleksi itu kini disimpan di rumah dan dicadang untuk dipamerkan di ruang hotel yang diusahakan secara bersama dengan seorang rakannya.
"Saya berharap suatu hari nanti anak cucu saya dapat mengenali telefon lama ini yang kini boleh dianggap koleksi antik yang mempunyai nilainya tersendiri.
"Jauh dari sudut hati, saya juga menyimpan hasrat untuk meletakkan koleksi ini disudut pintu masuk hotel sebagai tarikan pengunjung yang singgah dan bermalam di sini," kata bapa enam anak berkenaan. - Sinar Harian
#Telefon bimbit #telefon pintar #koleksi #hobi
;