Penghujung Borneo permata tersembunyi di Kudat, Sabah
Bernama
Februari 25, 2024 06:00 MYT
Februari 25, 2024 06:00 MYT
KUDAT: Terletak di titik paling hujung Borneo, Tanjung Simpang Mengayau di sini dikenali 'Pengujung Borneo' atau 'Tanduk Sabah' dalam kalangan orang tempatan, dan 'Tip of Borneo' dalam kalangan pelancong luar merupakan 'permata tersembunyi' yang perlu dilawati pelancong ke Sabah.
Pemandu pelancong Taty Ilyana Md Ali, 31, berkata apa yang istimewanya mengenai Tanjung Simpang Mengayau adalah ia merupakan kawasan dataran paling hujung di utara Borneo, terletak kira-kira 200 kilometer utara dari Kota Kinabalu dalam perjalanan antara tiga hingga empat jam
"Ia juga merupakan titik pertemuan antara Laut China Selatan di sebelah Barat, dan Laut Sulu di sebelah Timur malah pelancong boleh melihat sendiri permandangan matahari 'jatuh' di horizon laut kebiruan yang amat indah.
"Jika kita tengok dalam peta Borneo ini ada seakan-akan tanduk di hujung utara Sabah itulah dia Tanjung Simpang Mengayau ini, kerana itu orang sini (tempatan) gelar dia Tanduk Borneo. Zaman dahulu pelaut suka jadikan kawasan ini tempat pendaratan dan persinggahan kerana lokasinya strategik," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata lebih 100 orang pelancong sebulan dibawanya, meskipun lokasinya yang jauh dari Kota Kinabalu dan laluan yang agak mencabar.
Bagaimanapun beliau berkata fasiliti pelancongan yang telah selesai dinaik taraf sekitar pertengahan tahun lepas oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) antaranya kawasan pejalan kaki dan platform lebih selamat memberikan ruang yang lebih baik untuk pelancong menikmati keindahan kawasan itu.
Pada bulan lepas, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew berkata kerajaan Sabah menyasarkan kedatangan 3 juta pelancong tahun ini dengan industri pelancongan Sabah semakin berkembang menerusi kedatangan 2.5 juta pelancong, menjana RM4.6 bilion tahun lepas.
Yun Eun Ae, 43, pelancong dari Incheon, Korea Selatan berkata dia mengetahui mengenai Tanjung Simpang Mangayau, sekitar dua tahun lepas apabila merancang perjalanan ke Sabah untuk rehat minda yang amat diperlukan selepas melalui tempoh yang meletihkan sepanjang penularan wabak COVID-19.
"Saya seorang ahli farmasi jadi anda boleh bayangkan betapa sibuknya hidup saya ketika itu apabila COVID-19 melanda, jadi saya ingin melancong ke tempat dengan persekitaran semula jadi yang indah, dan sudah tentu Sabah merupakan satu daripada destinasi terbaik di Asia dan saya suka mencari permata tersembunyi, maka dari situlaa saya terjumpa Tip of Borneo melalui carian di Internet.
"Gambar-gambar di Internet tidak sama dengan keindahan sebenar di sini. Laut yang biru, pantai yang memutih serta hospitaliti penduduk Sabah di sini sungguh mengagumkan.
"Sangat suka di sini. Amat berbaloi melalui perjalanan yang mencabar untuk ke sini, dan benar-benar dapat rehat minda, jiwa dan raga saya apabila berada di sini," katanya.
Eun Ae yang kini sedang bercuti seminggu ke Sabah bersama suami dan akan berlepas ke Thailand minggu depan untuk melawat lebih banyak pantai yang indah.
Namun begitu, keindahan laut, pantai dan alam semula jadi di Tanjung Simpang Mangayau adalah sukar untuk ditandingi, katanya.
Mohd Khairul Mohd Bakri, 25, jurujual dari Baling, Kedah berkata beliau mengunjungi Tanjung Sompang Mengayau bersama tiga rakannya untuk aktiviti memancing dan kawasan itu merupakan sebuah 'permata tersembunyi' di Sabah untuk 'kaki pancing' termasuk untuk aktiviti menyelam skuba.
"Kawasan ini jadi pilihan kaki pancing kerana pertemuan Laut China Selatan dan Laut Sulu jadi mahu memancing itu ada cabaran dan keistimewaan sendiri seperti kena pandai baca laut. Ikan juga amat istimewa tidak jumpa di Semenanjung antaranya baulu, uji rashid, pisang-pisang dan kutambak," katanya.
Beliau berkata produk pelancongan seperti makanan laut di Kota Kinabalu, Gunung Kinabalu di Ranau dan pemuliharaan Orang Utan di Sepilok sering menjadi pilihan, namun pelancong tidak seharusnya melupakan permata tersembunyi Sabah seperti Tanjung Simpang Mengayau bagi memberi kelainan dalam perjalanan mereka.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpang Mengayau Laut Sabaruddin Pahtani, 51, berkata nama asal kawasan itu adalah Sampang Mengazou dalam bahasa etnik Rungus membawa maksud simpang pertempuran.
"Sini jadi tumpuan pertempuran, berlawan banyak dengan lanun kerana kawasan strategik antara Laut China Selatan dan Laut Sulu.
"Kawasan laluan kapal dan sumber laut amat banyak selain sumber semula jadi darat daripada kawasan lain," katanya.
Beliau berkata kawasan itu telah banyak berubah hasil usaha kerajaan Persekutuan dan negeri bekerjasama mempromosi dan menaik taraf fasiliti kawasan itu, namun usaha itu agak terkekang akibat kemudahan jalan raya yang tidak begitu baik untuk menempuh perjalanan jauh terutama dari Kota Kinabalu.
"Lebuhraya Pan Borneo antara Kota Kinabalu ke Kudat harapan kita untuk pelancong terus sampai ke Simpang Mengayau. Lebuh raya selesa lebih ramai pelancong ke kawasan ini, seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk setempat boleh berniaga dan dapat peluang pekerjaan," katanya.
Laluan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,236 km dilaksanakan dalam tiga fasa, Fasa 1 projek itu dengan jarak 706 kilometer melibatkan laluan Sindumin-Kota Kinabalu-Kudat, Ranau-Batu 32 Sandakan dan Batu 32 Sandakan-Tawau.
Pada bulan lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata empat pakej kerja Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sabah iaitu Jalan Papar Donggongon, Jalan Tawau-Semporna, Jalan Bipas Lahad Datu dan Jalan Kampung Lot M - Batu 32 Sandakan telah disiapkan setakat 31 Dis tahun lalu.
-- BERNAMA