Pengetua cantikkan sekolah dalam masa 100 hari

Ehsan A Marisah
Februari 20, 2021 15:00 MYT
Datin Zamhirah berkata, transformasi dilakukan bagi mewujudkan persekitaran selesa dan menggalakkan pelajar meluangkan lebih masa di sekolah untuk mengulangkaji pelajaran serta melakukan aktiviti berfaedah.
MENCANTIKKAN atau mengindahkan sesebuah tempat bukanlah perkara mudah, malah memerlukan ketelitian dan ketekunan agar setiap yang dilakukan tidaklah umpama mencurahkan garam ke laut, bahkan membuahkan hasil yang diiginkan.
Itulah inisiatif yang diambil pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Mahmood Iskandar, Batu Pahat, Johor yang memanfaatkan 100 hari selepas hari pertama beliau memulakan tugas sejak Oktober tahun lalu.
Daripada pemandangan biasa yang menjadi kelaziman di banyak sekolah awam, kini banyak ruang utama di sekolah itu berubah seolah-olah seperti berada di gedung pameran gaya hidup dan perabot mewah.
Jarang sekali atau belum pernah ada sekolah awam lain, yang mengetengahkan gaya moden dan elegan seperti pendekatan Pengetua Sekolah, Datin Zamhirah Osman.
Zamhirah berkata, usaha itu dilakukan selepas seminggu menganalisis dan memantau persekitaran sekolah berkenaan.
“Saya jatuh hati dan mendapati persekitaran sekolah mempunyai banyak khazanah berharga. Sekolah ini ditubuhkan pada 1965, ia juga cukup istimewa sebab banyak yang klasik, selain warga dan pelajar yang baik hati.
“Selain itu, sasaran saya apabila pelajar masuk ke sekolah pada 20 Januari, semua aktiviti pembangunan selesai dan guru-guru boleh fokus kepada pengajaran dan pembelajaran sahaja,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Zamhirah menambah, transformasi tersebut juga dilakukan bagi mewujudkan persekitaran yang selesa dan menggalakkan pelajar meluangkan lebih masa di sekolah untuk mengulang kaji pelajaran serta melakukan aktiviti berfaedah.
“Secara puratanya, ada 17 transformasi yang dilakukan antaranya Iskandar Digital Area (IDEA), Iskandar Lacafe, Iskandar Relax Study Area (iREXSA), Sanggar Pustaka Ismail, Iskandar Bistro, serta bilik-bilik lain.
“Sekarang, hanya pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang datang ke sekolah, bilangan yang hadir ke sekolah juga meningkat serta mencatatkan kehadiran paling tinggi melebihi 98 peratus bagi sekolah-sekolah di Batu Pahat sejak 20 Januari sehingga hari ini,” katanya.
Sementara itu, Zamhirah berkata, usaha itu juga hasil kerjasama daripada pelbagai pihak yang menyumbangkan tenaga serta sokongan kewangan.
“Semua ini tidak berhasil tanpa adanya dana daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), koperasi sekolah, kewangan kerajaan, alumni dan beberapa individu lain yang menyumbang.
“Pihak koperasi juga mempunyai kekuatan kewangan kukuh dan setiap kewangan perlu digunakan untuk pembangunan pelajar, dari situlah bermulanya transformasi ini,” jelasnya.
Menurutnya lagi, dana keseluruhan proses transformasi itu juga mencecah sekitar RM80,000.
Antara inisiatif lain yang dilakukan selain mencantikkan persekitaran sekolah, jelas beliau, adalah dengan memberi kupon bagi menghargai pelajar hadir ke sekolah, solat hajat dan kelas tambahan sehingga jam 5.30 petang bagi pelajar-pelajar SPM.
“Saya dan kakitangan sekolah juga dalam fasa kedua dan ketiga membangunkan sekolah ini dan berharap pelajar menghargai apa yang telah dilakukan demi keselesaan mereka serta saya mendoakan agar pelajar-pelajar yang menduduki SPM tahun ini dapat melakukannya dengan tenang, sekali gus memperoleh keputusan cemerlang,” katanya lagi.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#sekolah #guru #pelajar #pengetua #pengajaran dan pembelajaran #Batu Pahat #Sijil Pelajaran Malaysia #SPM
;