Pengesanan awal bantu cegah risiko kanser payudara, tingkat hasil rawatan
Bernama
Oktober 23, 2023 05:45 MYT
Oktober 23, 2023 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kanser payudara boleh menyerang sesiapa sahaja dan antara faktor yang meningkatkan risiko penyakit adalah genetik, sejarah keluarga, perubahan hormon, gaya hidup, umur, kitaran haid dan menopaus.
Berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 685,000 kematian direkodkan pada 2020 akibat penyakit itu dan dianggarkan 0.5 hingga satu peratus kes kanser payudara melibatkan golongan lelaki.
Pakar Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Christina Lai Nye Bing berkata walaupun kesedaran mengenai penyakit itu semakin meningkat, hakikatnya kebanyakan pesakit yang baru disahkan menghidap kanser payudara sebenarnya sudah berada pada tahap yang teruk.
"Kadar kesembuhan individu yang dikesan dengan kanser payudara pada peringkat awal adalah lebih tinggi berbanding pesakit yang sudah teruk tetapi belum merebak ke anggota badan lain (tahap 3) atau metastatik (tahap 4).
"Mamogram lazimnya disaran dibuat setiap tahun oleh wanita berumur 40 tahun dan ke atas. Ia dapat mengesan kalsifikasi payudara prakanser, iaitu bintik putih pada imej sinar-X yang menandakan karsinoma duktal in situ (DCIS), yang juga dikenali sebagai kanser payudara tahap 0," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dr Lai berkata walaupun DCIS biasanya tidak berbahaya (benigna), ia menyumbang kepada 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kes kanser payudara yang baru didiagnos, atau satu daripada lima kes.
Justeru, beliau menggalakkan lelaki dan wanita untuk melakukan pemeriksaan kendiri sebulan sekali seawal usia 20 tahun bagi mengenal pasti sebarang keadaan luar biasa pada tubuh mereka.
"Jika anda mengesan ada ketulan pada dada, anda tidak perlu panik kerana hanya 10 hingga 20 peratus daripada ketulan seperti itu bertukar menjadi kanser. Namun bagi wanita, sebaiknya jangan buat pemeriksaan sebelum haid kerana pada waktu itu payudara lazimnya membengkak," katanya.
Beliau berkata seiring peredaran masa, kemajuan dalam saringan dan bidang onkologi juga mampu memberikan sinar harapan kepada pesakit kerana status hormon dan kajian genomik memberi maklumat penting yang membolehkan pakar onkologi menyesuaikan rawatan dengan keadaan unik setiap pesakit.
Dr Lai berkata kemajuan itu membuka ruang kepada rawatan bersasar yang boleh mengecutkan atau menghapus tumor dengan ketara selain pesakit kurang mengalami kesan sampingan disebabkan hasil inovasi seperti penggunaan mesin kemoterapi yang dapat memelihara rambut, pembedahan onkoplastik untuk pembinaan semula payudara dan ubat antimuntah yang ditambah baik.
"Jika dahulu, diagnosis kanser payudara biasanya disambut dengan rasa takut dan tidak pasti kerana membayangkan kemungkinan melakukan pembedahan yang mampu mencacatkan rupa serta menjalani rawatan yang melemahkan.
"Namun pada hari ini, penerimaan wanita yang menghidap kanser payudara adalah jauh lebih positif. Pilihan rawatan juga tidak begitu menjejaskan gaya hidup dan kehidupan seharian pesakit. Disebabkan itu, biarpun kanser payudara masih merupakan penyakit yang serius, pesakit mempunyai banyak sebab untuk tidak putus harapan, terutamanya apabila ia dikesan lebih awal," katanya.
Mengulas lanjut, Dr Lai berkata 50 peratus wanita yang didiagnos dengan kanser di Malaysia berumur bawah 50 tahun sekali gus menegaskan agar golongan muda juga perlu mula memberi perhatian terhadap perkara berkenaan.
Sempena Pinktober iaitu bulan kesedaran kanser payudara kebangsaan, beliau mengajak orang ramai untuk menyemai sikap proaktif dalam memahami faktor risiko masing-masing dan komited terhadap pemeriksaan berkala kerana pengesanan awal mampu merawat kanser payudara.
"Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai kanser payudara, segeralah mendapatkan nasihat daripada doktor. Pusat pemeriksaan kesihatan juga boleh mencadangkan pakej yang bersesuaian dengan faktor risiko anda," katanya.
-- BERNAMA