Pengasuh persendirian perlu diberikan kursus kemahiran, lesen sah
Nursyazwani Saiful Sham
Julai 22, 2018 14:32 MYT
Julai 22, 2018 14:32 MYT
Hati ibu bapa mana yang tidak berasa sedih apabila mendapat tahu bahawa anak tersayang yang dihantar ke pusat asuhan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan.
Bukan sahaja kecederaan, ada beberapa kes di negara ini juga yang mengakibatkan kematian ekoran kecuaian pengasuh.
Sehubungan itu, pelbagai saranan dan cadangan yang diberikan para ibu bapa seperti pemberian kursus dan latihan bagi mengelak kejadian tidak diingini melibatkan kanak-kanak di rumah atau pusat asuhan.
Bedasarkan tinjuan Astro AWANI di sekitar Kuala Lumpur pada Ahad, rata-rata berpendapat setiap pengasuh persendirian perlu mempunyai sijil kemahiran dan lesen pusat asuhan yang sah.
Menurut perunding insurans, Noraliza Saad, pemantauan terhadap setiap pengasuh persendirian ini perlu dilakukan secara berkala.
“Untuk setiap pengasuh pensendirian, pemantauan perlu dilakukan selalu dan mereka mesti mempunyai lesen. Ini kerana kita (ibu bapa) tidak tahu sejarah kehidupan pengasuh persendirian itu,” katanya.
Manakala seorang bekas guru, Norhaini Ahmad berpendapat bahawa pihak kementerian perlu proaktif dalam memastikan garis panduan dan undang-undang berkaitan penjagaan kanak-kanak dipatuhi sekali gus diperketatkan.
“Kementerian mempunyai peranan penting dalam isu ini. Mereka wajar melakukan pemantauan sama ada para pengasuh persendirian ini ada lesen atau tidak,” ujarnya.
Terdahulu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melihat kembali akta melibatkan kanak-kanak, termasuk peraturan yang berkaitan bagi mengurangkan kes kematian akibat kecuaian, kata Menterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ia susulan kes bayi malang berusia 10 bulan, Naufal Amsyar Nabil Fikri, yang cedera parah di kepala dipercayai akibat terjatuh dari buaian di rumah pengasuhnya, menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu.
Bukan itu sahaja, satu lagi kematian baru-baru ini terjadi adalah apabila mayat seorang bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi Naief ditemui dalam peti sejuk rumah pengasuhnya.