Pengasas rumah anak yatim kongsi pengalaman awal, buntu diarah pindah segera
Faida Rahim
Julai 22, 2024 09:15 MYT
Julai 22, 2024 09:15 MYT
AMPANG: Berbekalkan pengalaman bergelar sukarelawan di sebuah rumah anak anak yatim di Banting, Mariamah Miskan mengambil langkah berani menubuhkan pusat jagaan serupa, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu pada tahun 2018.
Mariamah atau mesra dengan panggilan Ibu Maryam memberitahu Astro AWANI dia membuat keputusan itu selepas mendapat sokongan moral daripada pengasas rumah anak-anak yatim terbabit yang juga merupakan kenalannya.
"Dulu saya berkhidmat sebagai salah seorang sukarelawan di sebuah rumah anak yatim di Banting. Saya seorang yang suka kanak-kanak dan saya ingin beri kasih sayang secukupnya kepada mereka yang telah kehilangan kasih sayang ibu-bapa lebih awal.
"Beberapa tahun ulang- alik ke Banting, tak pernah sekali pun saya rasa letih. Malah seronok dapat tengok anak-anak di sana.
"Satu hari saya ditawarkan untuk bekerja sepenuh masa di sana tetapi saya menolak dengan baik kerana saya pilih untuk jadi sukarelawan. Hilang penat bila dapat tengok muka anak-anak ini.
"Umi, gelaran pengasas rumah anak yatim tempat saya pernah bekerja dulu tanya, sama ada saya minat untuk membuka sebuah rumah anak yatim. Pada awalnya saya takut kerana tanggungjawab ini bukan mudah dan juga besar.
"Atas sokongan berterusan daripada Umi, akhirnya saya mendaftarkan nama untuk mengasaskan rumah yang saya sifatkan sebagai syurga buat kami di sini," katanya.
Bercerita lanjut, Ibu Maryam yang merupakan ibu tunggal kepada enam cahaya mata memberitahu, 2 Oktober 2018 akan terus terpahat dalam ingatan kerana pada tarikh itu dia memulakan rumah anak yatimnya sendiri.
"Selepas pendaftaran untuk menubuhkan NGO lulus, saya mencari lokasi menempatkan anak-anak yatim. Alhamdulillah akhirnya saya temui sebuah rumah yang menepati syarat ditetapkan untuk membuka rumah anak yatim di bawah NGO.
"Segalanya berjalan dengan mudah. Saya mula menguar-uarkan melalui WhatsApp untuk bantuan mendapatkan barang keperluan termasuk barangan mandian, sewa, bantuan bayaran elektrik dan air dan lain-lain.
"Alhamdulillah rumah ini kini menempatkan seramai 15 orang anak yatim dan asnaf," katanya yang turut mendapat bantuan beberapa pekerja serta sukarelawan termasuk seorang individu dikenali sebagai Mak Ros.
Berkongsi cerita lagi, ibu Maryam memberitahu dia diuji apabila terpaksa keluar dari rumah itu selepas beberapa bulan menyewa.
Dia kemudian berpindah ke sebuah rumah yang terletak di Keramat, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Lembah Jaya Selatan, Ampang.
"Saya diberi notis beberapa hari sahaja untuk keluar dari rumah itu. Allah sahaja yang tahu betapa pilunya saya untuk cari lokasi lain untuk menempatkan anak-anak ini. Dalam tempoh sukar itu, saya diperkenalkan dengan seseorang yang saya panggil dia Mama Lina.
"Dia insan yang bantu saya untuk mendapatkan rumah lot yang diwakafkan ini untuk tempoh tujuh tahun. Lima tahun sudah berlalu dan berbaki hanya dua tahun lagi untuk kami berada di sini.
"Doakan agar ada sinar dan jalan untuk saya mendapatkan tempat untuk anak-anak ini apabila tempoh wakaf rumah ini tamat kelak. Doakan saya dikurniakan kesihatan baik untuk menjaga mereka," katanya.