Pengaruh fesyen avant-garde

Faizal Hamid
September 22, 2022 10:15 MYT
Gaya avant-garde yang dahulunya dianggap luar kebiasaan, kini menjadi fenomena dunia serta di terima sebagai suatu yang progresif dan pemikiran yang ke hadapan. -Foto Craig McDean, ihsan Comme des Garons / The Metropolitan Museum of Art
AVANT-GARDE adalah sinonim dengan aliran gerakan melangkaui sempadan budaya dengan idea-idea radikal lebih seabad lamanya.
Semenjak ia dimulakan, perkembangan gerakan ini cukup progresif di dalam lapangan seni, muzik, senibina, sastera, teater, filem, dan paling penting, fesyen.
Dalam terma fesyen, avant-garde telah berjaya menghasilkan generasi pereka berkaliber yang dibanggakan; mereka yang cuba membentuk semula bagaimana kita melihat dan memakai pakaian.
Gaya avant-garde yang dahulunya dianggap luar kebiasaan, kini menjadi fenomena dunia serta diterima sebagai suatu yang progresif dan pemikiran yang ke hadapan.
Definisi Avant-Garde
Avant-garde adalah gerakan budaya artistik dan intelektual yang bercirikan pendekatan eksperimental dan radikal. Di ambil daripada bahasa Perancis yang bermaksud barisan hadapan (vanguard), terma ini menggambarkan sebilangan mereka yang berani berfikir di luar kotak serta maju ke hadapan dengan idea yang tidak konvensional atau luar biasa.
Avant-garde penting kerana ia adalah berdasarkan konsep inovasi berterusan, berani mengambil risiko dan momentum yang sentiasa meneroka peluang ke hadapan.
Konsep ini juga memberi penekanan bahawa setiap kemajuan hanya boleh dicapai melalui setiap kegagalan, dan setiap mereka yang mahu lebih progresif perlu bersedia untuk gagal terlebih dahulu.
Percubaan dengan eksprimentasi yang berbeza juga pasti dapat menghasilkan inovasi yang di luar jangkaan.
Fesyen Avant-Garde
Dalam fesyen, avant-garde dimanifestasikan dengan memacu ke hadapan intelektual, kesenian, rekaan yang tidak konvensional, rupa bentuk baharu, struktur dan sentuhan luar biasa yang memisahkan cetusan idea dan karya daripada arus perdana.
Pendekatan experimental yang berterusan menjadikan fesyen berkonsepkan avant-garde cukup unik dan signifikan.
Fesyen avant-garde adalah merupakan ekspresi diri pereka melalui karya mereka. Ia bukan hanya bersifat luaran tetapi lebih kepada intuisi serta persepsi si pemakai terhadap karya/ rekaan tersebut.
Sumbangan Avant-Garde Kepada Fesyen
Gerakan avant-garde telah memberi impak terhadap bagaimana pereka berfikir dan menghasilkan karya mereka.
Rupa, bentuk dan siluet pakaian juga mula berubah atas pengaruh avant-garde.
Eksperimentasi perincian, detail dan potongan pakaian yang radikal dan tidak dijangka seperti oversized tailoring menyuntik perspektif berbeza kepada gaya berpakaian kontemporari.
Pereka Fesyen Ikonik Avant-Garde
Melalui evolusi yang mengambil masa yang lama, pereke fesyen avant-garde penting dunia telah mewujudkan gaya karya tersendiri hingga ke tahap yang begitu ikonik.
Sememangnya asal usul fesyen avant-garde adalah sukar dikenal pasti dengan tepat, tetapi pengaruh yang paling besar di dalam permulaan konsep keseluruhan revolusi global avant-garde, datangnya daripada pereka-pereka Jepun yang hebat seperti Yohji Yamamoto, Rei Kawakubo (Comme des Garçons) dan Junya Watanabe.
Yohji Yamamoto adalah di antara pereka avant-garde yang paling berjaya menggabungkan konsep fesyen avant-garde di dalam jenama arus perdana.
Kolaborasi antara Yohji Yamamoto dan Adidas untuk jenama Y-3, cukup popular dan telah memecahkan tradisi fesyen pakaian.
Pereka luar biasa seperti Thierry Mugler, Courréges dan Borris Bidjan Saberi juga menempa nama dengan koleksi-koleksi ikonik avant-garde mereka.
Pereka kontemporari seperti Rick Owens yang berasal dari Amerika Syarikat juga cukup dihormati dalam kalangan pereka fesyen avant-garde ternama.
Pengaruh gaya rekaannya juga menjadi inspirasi dalam koleksi ramai pereka di pentas peragaan dunia dan juga dalam bidang seni rekaan yang lain.
Fesyen Avant-Garde Kontemporari
Fesyen avant-garde bermula sekitar tahun 1960-an dan merupakan konsep gaya baru yang agak kontroversi pada masa itu.
Ia selalu diinspirasikan daripada konteks sosial kontemporari yang akhirnya mungkin boleh menghasilkan karya yang mampu untuk melonjak manifestasi (idea/ konsep/ pemikiran) yang mendefinisikan sesuatu zaman.
Pakaian dengan konsep avant-garde juga sepatutnya mempunyai elemen provokatif tetapi dalam waktu yang sama masih sensitif dan punyai kefahaman terhadap lapisan ruang lingkup masa, budaya dan masyarakat masa kini.
Ini untuk memastikan ia relevan dalam konteks kontemporari.
Setiap rekaan/karya melangkaui konsep pakaian yang menjadi kebiasaan dan sebenarnya membawa cerita tersembunyi, yang perlu kita rungkai dan terjemahkan.
Konsep fesyen avant-garde cukup luar biasa serta menerokai kebebasan ekspresi seni yang tiada sempadan.
Jenis Fesyen Avant-Garde
Kod fesyen avant-garde meliputi pelbagai rupa, bentuk, siluet dan kadar banding, bergantung kepada pereka dan juga kehendak pemakainya.
Setiap suatu konstruksi gaya pakaian avant-garde adalah hasil rekaan berdasarkan ekspresi individualiti pereka.
  • Struktur pakaian yang berbeza dalam rona terang adalah juga sebahagian daripada fesyen avant-garde. Elemen ini cukup dominan dalam koleksi rekaan pereka seperti Rei Kawakubo (Comme des Garçons). Fesyen pakaian alternatif ini mempunyai ciri-ciri seperti ropol, reka corak, tekstur dan warna yang berani serta penuh impak kejutan.
  • Terdapat juga fesyen avant-garde jalanan – koleksi pakaian yang direka khas untuk pakaian jalanan (street wear). Selalunya gaya jalanan avant-garde dianggap mewah dan merupakan salah satu cara untuk memastikan kehadiran kita dirasai khalayak.
  • INFO
    Sejarah Avant-Garde
    · Di peringkat global, gerakan avant-garde terdiri daripada golongan artis, pereka, pemuzik, penulis dan pemikir. Kita dapat lihat gerakan avant-garde semakin berkembang semenjak penubuhannya lewat tahun 1850-an.
    · Impak avant-garde pada budaya arus perdana daripada dahulu hingga sekarang, disumbang dan dipelopori oleh personaliti-personaliti ikonik dunia seperti Salvador Dali (pelukis), J.G. Ballard (penulis) Zaha Hadid (arkitek), dan Rei Kawakubo (pereka fesyen).
    · Beberapa kejayaan paling penting dalam bidang artistik dan budaya kontemporari telah dicapai melalui gerakan avant-garde. Konsep avant-garde yang menolak mentaliti atau pemikiran biasa dan lebih terarah kepada memperkasa originaliti, telah memberikan peluang kepada mereka yang berfikiran lebih terbuka untuk mencorakkan masa hadapan dengan lebih inventif dan signifikan.

    Faizal Hamid ialah pensyarah kanan di Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam. Berkelulusan MA In Environmental Arts (Fashion), Syracuse University, New York

    Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

    #Pengaruh fesyen Avant-garde #Faizal Hamid #Yohji Yamamoto #Rei Kawakubo
    ;