Pengantin baharu 'rentas daerah' rakam detik bahagia di Putrajaya

Bernama
September 11, 2021 12:46 MYT
Mohd Fauzi Amin bergambar bersama pasangannya June Asmerahawa Minhad berlatar belakangkan Bangunan Perdana Putra di Dataran Putra Putrajaya selepas majlis akad nikah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Kuala Lumpur hari ini. - Bernama
PUTRAJAYA: Peralihan status Lembah Klang ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) membolehkan pasangan pengantin 'merentas daerah' dari Kuala Lumpur untuk merakamkan detik kegembiraan mereka dengan berlatarbelakangkan panorama Putrajaya.
Usai melafazkan akad nikah di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kuala Lumpur, Mohd Fauzi Amin dan pasangannya June Asmerahawa Minhad menuju ke Dataran Putra di sini untuk merakamkan detik indah mereka antaranya dengan latar belakang ikonik Putrajaya iaitu Perdana Putra dan Masjid Putra.
Lengkap berbusana pengantin berwarna putih berserta memakai pelitup muka, Mohd Fauzi, 29, dan June Asmerahawa, 33, yang tiba di Dataran Putra pada pukul 6 petang menarik tumpuan pengunjung yang beriadah di lokasi tersebut dengan aksi romantis mereka ketika bergambar.
"Putrajaya memang terkenal dengan pemandangan cantik. Bila boleh merentas, kami buat keputusan untuk datang ambil gambar di tempat ini," kata Mohd Fauzi yang menetap di Sentul kepada Bernama hari ini.
Beliau tidak menyangka kegembiraan berpeluang ke Putrajaya untuk merakamkan detik indah itu juga hadir pada hari bahagianya kerana sebelum ini aktiviti rentas daerah adalah tidak dibenarkan dan terdapat sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri.
"Bila dah beralih masuk Fasa 2 (PPN) ini memang mudahlah urusan perkahwinan kami kerana sudah tiada sekatan jalan raya, jimat masa perjalanan dan urusan lain," katanya.
Pasangannya, June Asmerahawa berkata beliau sebelum ini hanya bercadang untuk merakam gambar perkahwinan mereka di sekitar ibu negara seperti KLCC dan Taman Tasik Titiwangsa.
"Bila rentas sempadan daerah dibuka kami terus datang ke Putrajaya kerana pemandangan di kawasan ini amat cantik," katanya.
Beliau juga menzahirkan rasa syukur apabila urusan perkahwinannya yang tertangguh sejak enam bulan lepas atas pelbagai halangan akhirnya dapat disempurnakan.
"Majlis akad nikah pun berjalan lancar dengan ikut SOP (prosedur operasi standard). Pasangan yang berkahwin di JAWI perlu buat ujian saringan COVID-19 dan ia (SOP) ketat bagi memastikan tidak berlaku penularan COVID-19 di tempat itu," katanya.
Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penduduk Lembah Klang yang sudah melengkapkan vaksinasi COVID-19 boleh merentas sempadan daerah bermula hari ini berikutan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa Dua PPN.
Ismail Sabri berkata kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri-negeri yang telah memasuki Fasa Dua PPN termasuk kebenaran merentas daerah kepada individu yang lengkap menerima dua dos vaksin.
Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama dan oleh itu pergerakan antara negeri-negeri berkenaan dibenarkan serta tiada lagi sekatan jalan raya. - Bernama

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#Pengantin #rentas daerah #pitrajaya #kelonggaran sekatan
;