Penganan Jala antara sajian kuih tradisi istimewa Hari Gawai
Nickyson Nyambar
Mei 18, 2019 17:01 MYT
Mei 18, 2019 17:01 MYT
MENJELANG Hari Gawai yang bakal tiba, pelbagai persiapan pastinya sedang diatur bagi memeriahkan sambutan terbesar di Sarawak itu.
Persediaan bukan sahaja merangkumi acara ketika Hari Gawai, malah persediaan daripada segi makanan pasti telah bermula sejak awal bulan ini.
Ini kerana masyarakat Dayak amat menitikberatkan tetamu yang bakal disambut ketika Hari Gawai. Simpanan makanan haruslah mencukupi kerana sanak-saudara dan kaum keluarga yang datang dari jauh pastinya ramai dan semuanya akan sibuk meraikan sambutan itu.
Berikut ialah antara senarai makanan dan kuih tradisi menarik yang boleh didapati pada Hari Gawai:
1. Kuih Acuan
Nama panggilannya mungkin berbeza mengikut daerah. Ada yang memanggilnya Kuih Bunga Ros dan ia memang terkenal dalam kalangan masyarakat Iban.
Rasanya manis dan ranggup. Bahan-bahan yang digunakan terdiri daripada tepung beras, santan dan kelapa.
2. Kuih Sarang Semut/ Penganan Jala/ Sarang Engkerawai
Kuih ini sememangnya terkenal. Terutamanya ketika Gawai dan Krismas. Boleh didapati dengan mudah ketika anda berkunjung ke rumah panjang untuk meraikan sambutan Gawai.
Kuih ini antara hidangan menarik yang disajikan kepada tetamu. Ini mungkin versi kuih jala, namun ia ranggup.
Ketelitian dan kesabaran amat diperlukan ketika proses pembuatannya.
3. Penganan Chuan/ Penyaram
Antara campuran utamanya adalah tepung beras dan gula nila. Bahan-bahan adunannya lebih kurang sama dengan Kuih Sarang Semut, namun teknik pembuatannya berbeza.
Kelembutan dan rasa manisnya sesuai dijadikan santapan waktu petang.
Menariknya, kuih ini juga ada ketikanya dipersembahkan bersama-sama kuih lain di atas piring bagi upacara Miring.
Selain itu, pansuh dan tuak juga antara yang sinonim dengan masyarakat Dayak.
Nantikan perkongsian selanjutnya!
#AWANI Sarawak
#Gawai Dayak
#Hari Gawai
#Kuih Acuan
#Kuih Penganan Chuan
#Kuih Penganan Jala
#Kuih Sarang Semut