Pengalaman 'paling mahal' di kota Paris

Bernama
Mei 2, 2022 12:41 MYT
Di sebalik imej Kota Romantis, Paris juga amat dikenali dengan sindiket penyeluk saku dan jenayah curi yang berleluasa dan kebanyakannya disasarkan kepada pelancong asing. - Unsplash
KALI pertama menjejakkan kaki ke kota Paris, sudah pastinya penulis amat teruja apatah lagi untuk menyempurnakan tugasan diamanahkan oleh Bernama.
Namun, pengalaman kali pertama penulis ke kota Paris tidak seindah disangka malah ia berakhir dengan kedukaan.
Bukannya ibu negara Perancis itu tidak memenuhi keunggulannya sebagai 'Kota Cinta' atau 'Kota Cahaya', malah bukan juga disebabkan tarikan metropolis yang tidak memikat.
Tapi, kerana penulis ditimpa malang apabila beg sandang miliknya telah dicuri tanpa disedari.
Kejadian berlaku ketika penulis sedang menikmati makan malam bersama dua rakan dari Jepun dan warga tempatan di sebuah restoran.
Ketika di meja makan, penulis telah meletakkan beg sandang yang didalamnya ada MacBook baharu dan dompet berisi wang tunai kesemuanya bernilai lebih RM15,000 dan juga pasport.
Dan penulis hanya menyedari beg sandang itu tiada di tempatnya apabila hendak membayar bil makan malam.
Lebih mengejutkan, tiada seorang pun daripada kami mahupun pelanggan dalam restoran itu melihat mana-mana individu mengambil beg sandang milik penulis.
Ketika itu barulah terfikir sepatutnya penulis melilitkan tali beg pada kaki atau kaki kerusi dan kunjungan ke kota Paris mengundang kedukaan buat diri penulis.
Berikutan kejadian malang itu, penulis perlu memohon sijil kecemasan di Kedutaan Malaysia di sana bagi membolehkan penulis pulang ke tanah air.
Seorang petugas di kedutaan memberitahu bahawa sekurang-kurangnya seorang rakyat Malaysia hilang pasport atau kad pengenalan di Paris setiap hari terutama ketika mereka bercuti ke kota itu pada musim panas.
"Begitulah boleh digambarkan teruknya kejadian penyeluk saku di sini (di Paris). Kami sentiasa menerima IC (kad pengenalan) atau pasport yang hilang dihantar ke sini (kedutaan)," katanya.
Petugas terbabit juga tidak terlepas daripada insiden malang apabila pernah menjadi mangsa penyeluk saku ketika minggu pertama bertugas di sana.
"Ia kejadian normal di sini (Paris). Banyak rakyat Malaysia sama ada disamun atau menjadi mangsa penyeluk saku dan kad pengenalan (dokumen pengenalan diri) dan pasport merekadibuang ke suatu tempat oleh pelaku yang kemudiannya ditemukan oleh orang lain dan menghantarnya ke kedutaan," katanya.
Namun, dalam kes penulis, rasanya pencuri bukan penyeluk saku biasa. Penulis berpendapat 'tugasan' itu dilakukan secara berpasukan oleh penyamun berpengalaman kerana ia berlaku dalam sebuah restoran hebat, yang mana anda perlu menunggu sebelum dibawa ke meja makan.
Menurut seorang pegawai polis Perancis yang ditemui ketika membuat laporan (namanya enggan disiarkan), jenayah seperti ini bukan sahaja berleluasa di Paris tetapi di kebanyakan bandar pelancongan lain di Eropah.
Menurut pegawai itu, polis Perancis percaya jenayah berkenaan dilakukan oleh satu sindiket dari Amerika Selatan.
Malah katanya, polis Perancis telah menubuhkan satu unit khas bagi menangani penjenayah dari Amerika Selatan itu.
"Sasaran mereka adalah pelancong dan mereka (penjenayah) sering bergerak dalam kumpulan. Mereka hanya berada di bandar tertentu untuk beberapa hari dan bergerak ke bandar lain selepas mengumpul hasil rompakan yang akan dijual di bandar lain.
"Mereka ini profesional. Mereka berpakaian kemas, kadangkala lebih baik daripada orang biasa dan bertindak seperti pelancong, peniaga atau penduduk tempatan. Mereka sering menyasarkan warga asing dan tempat seperti hotel, lapangan terbang dan tempat awam," katanya.
Pihak polis bagaimanapun tidak menaruh harapan tinggi bahawa pencuri yang merompak penulis akan ditemukan dan mencadangkan kepada penulis untuk membuat tuntutan insurans, sekurang-kurangnya mampu menampung kerugian dialami.
Yang pasti, ia adalah 'pengalaman Perancis paling mahal' buat penulis. Ia menjadi pengajaran kepada penulis dan berharap dapat membuka mata mereka yang ingin ke kota Paris.
-- BERNAMA / Nik Nurfaqih Nik Wil
#Paris #kes curi #sindiket #kota romantis #pelancongan
;