Pengalaman meluncur di litar Sepang

Ian Johan Ariff
Mei 25, 2015 20:33 MYT
SIC buka pintu kepada orang awam untuk menjalani aktiviti sihat di litarnya Sabtu lalu. Gambar - Ian Johan Ariff.
Bila lagi anda diberi peluang untuk bermain papan selaju di atas litar lumba bertaraf dunia?
Hujung minggu lalu, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) membuka pintunya kepada orang awam dengan menganjurkan program 'Motorsports-Free Morning' dan saya mengambil peluang itu untuk cuba meluncur di SIC dengan menggunakan papan selaju di litar sepanjang 5.5 km itu.
Bukan sahaja saya, lebih 1,300 individu mengambil peluang untuk menaiki basikal, bermain luncur roda, papan selaju dan berlari mengelilingi litar itu.
Bagi yang menyertainya, ini merupakan peluang terbaik mereka untuk berada di atas litar yang menganjurkan perlumbaan bertaraf dunia seperti Formula One dan juga Moto GP.
Nampaknya permukaan jalan yang kasar menyukarkan pergerakan papan selaju mahupun luncur roda namun ternyata ia satu pengalaman yang berharga.
Ia lebih sesuai untuk aktiviti berbasikal dan juga joging bagi yang gemar menjalani aktiviti sihat.
Lebih menarik, peserta membawa isteri dan anak mereka untuk bersama-sama menjalani aktiviti sihat bersama keluarga tersayang.
Tiada bayaran dikenakan untuk orang ramai terlibat dalam aktiviti yang bermula seawal pukul 6:30 pagi tersebut.
'Motorsport-Free Morning' dirasmikan ketua pegawai eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.
#litar sepang #Papan Selaju #SIC #Skateboard
;