Pengalaman jadi hero kucing bantu APM selamatkan dron Astro AWANI

Hilal Azmi
April 1, 2018 22:37 MYT
Dron milik Astro AWANI yang berjaya diselamatkan pasukan APM.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Tengah jadi ‘hero’ menyelamatkan dron milik Astro AWANI selepas tersangkut pada sebatang pokok di Bandar Melaka pada Ahad.
Menurut jurukamera Astro AWANI, Ab Uzza Latiff, kejadian dron tersangkut pada pokok berlaku selepas alat pengesan keselamatan pada dron gagal mengesan pokok terdekat sehingga menyebabkannya tersangkut pada pokok berdekatan Sungai Melaka.
“Ketika itu kami sedang merakamkan visual waktu malam Bandar Raya Melaka untuk program #PilihanSaya akan datang.
“Ketika itu, cuaca terlalu gelap sehingga menyebabkan alat pengesan atau sensor pada dron gagal berfungsi sehingga menyebabkan dron tersangkut pada sebatang pokok.
“Jadi, kami meminta bantuan APM selepas disarankan orang ramai,” katanya ketika memberitahu punca kejadian.
Sejurus tiba jam 1 pagi, pihak APM yang diketuai Sarjan Baba Ibrahim dari APM Melaka Tengah bersama empat anggota lain menggunakan galah besi serta jaring untuk ‘menyelamatkan’ dron berkenaan.
“Hanya dalam masa 10 minit, kami berjaya mendapatkan semula dron terbabit dan ia berada dalam keadaan selamat,” jelas Ab Uzza lagi.
Dalam pada itu, bagi Sarjan Baba, itu merupakan pengalaman pertamanya menyelamatkan dron kerana selama ini mereka hanya menggunakan galah besi berkenaan untuk menyelamatkan kucing atau haiwan peliharaan lain yang terperangkap di atas pokok.
Selain #PilihanSaya, Astro AWANI bakal menyiarkan beberapa program khas sempena Pilihan Raya Umum ke 14 menerusi kempen #MalaysiaMemilih yang akan bermula tidak lama lagi.
Inilah rakaman dron berkenaan beberapa saat sebelum insiden yang mencemaskan:
#AB Uzza Latiff #Angkatan Pertahanan Awam Malaysia #APM #Malaysia Memilih #Melaka #Pilihan Saya