Pendidikan peringkat awal penting untuk faham hak saksama - Malala Yousafzai
Nursyazwani Saiful Sham
Januari 26, 2018 12:25 MYT
Januari 26, 2018 12:25 MYT
Pendidikan di peringkat awal merupakan satu langkah penting untuk memastikan anak-anak memahami apa itu kesaksamaan antara berlainan jantina, ini yang cuba ditekankan oleh penerima Hadiah Nobel Keamanan dari Pakistan, Malala Yousafzai.
Malala ketika berucap di pentas Forum Eknonomi Dunia (WEF 2018) berkata, pendidikan adalah asas utama yang perlu diberikan kepada anak-anak.
“Dengan pendidikan mereka akan lebih memahami perkara di dunia ini seperti keadilan antara dua jantina berlainan, memahami apa itu hak asasi manusia selain memahami perkara lebih rumit seperti ekonomi dan sebagainya.
“Pendidikan akan membantu terutamanya para wanita di seluruh dunia. Lebih-lebih lagi pada waktu ini yang mana hak kesaksamaan antara jantina perlu diterapkan.
“Para lelaki pada waktu ini juga turut memainkan peranan penting untuk mendapatkan pendidikan dari peringkat awal untuk sama-sama memahami sifat keadilan antara lelaki dan wanita. Mereka perlu bersama dalam perjuangan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Malala turut menyifatkan perjuangannya memperkasa wanita adalah langkah untuk menambah kemajuan negara.
“Saya telah berhadapan dengan pelbagai pihak seperti kerajaan dan sekarang saya di sini, berucap di pentas WEF untuk terus berjuang demi memperkasa wanita dan hak mereka untuk mendapatkan keadilan di dunia ini.
“Menerusi pendidikan awal, perjuangan memperkasa wanita dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Malala merupakan aktivis yang terkenal menerusi kisah luar biasa selepas berjaya bertarung nyawa walaupun selepas tragedi ditembak Taliban.
Beliau amat disegani di seluruh dunia kerana kelantangannya memperjuangkan isu hak asasi manusia, pendidikan, penindasan dan wanita.
Ketika bercakap tentang feminisme, beliau kecewa dengan pihak atasan yang terang-terangan menolak hak kesaksamaan antara wanita.
“Jika antara ahli keluarga pihak atasan ini ditindas, adakah mereka akan membiarkan perkara itu berlaku? Sudah pastinya tidak. Pasti mereka akan menentang perkara itu supaya tidak terus berlaku.
“Saya berharap para wanita berani menyuarakan hak mereka agar tidak terus ditindas. Semua pihak terlibat diminta terus memperjuangkan hak memperkasa wanita,” tegasnya.
#ekonomi
#feminisme
#Forum Eknonomi Dunia
#kerajaan
#lelaki
#Malala Yousafzai
#maut
#Pakistan
#pendidikan
#Taliban
#wanita
#WEF 2018