Penderitaan psikologi: Harga yang perlu dibayar usahawan 'startup'
Dania Zainuddin
Oktober 28, 2017 14:50 MYT
Oktober 28, 2017 14:50 MYT
Kisah kejayaan syarikat pemula atau startup seperti Grab dan iFlix, sering kali memberikan gambaran manis tanpa liku terhadap dunia keusahawanan.
Namun, berdasarkan kajian Morneau Sheppel, situasi sebaliknya dengan hampir 72 peratus usahawan startup mengakui bimbang terhadap kesihatan mental masing-masing berikutan tekanan dan cabaran sebagai pengasas syarikat.
Pengasas dan Jurulatih Eksekutif Good Startups, Justin Milano menyifatkan situasi ini sebagai penderitaan psikologi yang menuntut perhatian, terutamanya di kalangan usahawan.
"Ramai orang tidak berminat untuk membincangkannya secara terbuka kerana ia adalah topik yang tidak menyeronokkan.
"Tetapi perbincangan perlu dilakukan supaya usahawan boleh memiliki kemahiran untuk menjalankan perniagaan dengan perasaan yang baik," katanya ketika ditemui di Simposium Akademi MaGIC 2017 di Cyberjaya baru-baru ini.
Milano yang sudah berkecimpung dalam perkhidmatan bimbingan hampir lima tahun berkata, terdapat tiga faktor utama punca usahawan berdepan penderitaan psikologi ini.
Ini termasuk kepercayaan bahawa diri usahawan itu adalah sebahagian daripada syarikat, tiada keupayaan menangani kebimbangan terhadap risiko dan tidak memiliki belas kasihan terhadap diri sendiri.
"Usahawan startup tidak perlu mengaitkan diri sepenuhnya dengan syarikat.
"Apa yang perlu dititikberatkan adalah pemikiran bahawa anda sedang menyediakan perkhidmatan kepada komuniti.
"Anda perlu menghilangkan perasaan bahawa segalanya adalah tentang diri anda,” katanya.
Baru-baru ini, sebuah artikel bertajuk 'The Psychological Price of Entrepreneurship' telah memaparkan kisah-kisah sebenar usahwan dan pelabur yang mengalami penderitaan psikologi.
Milano mencadangkan agar usahawan menangani kebimbangan mereka dengan mengamalkan konsep tidak mementingkan diri.
"Akhir sekali adalah pembangunan minda, iaitu tidak sentiasa menyalahkan diri jika kegagalan atau kesilapan berlaku.
"Daripada salahkan diri, anda perlu tanya diri sendiri, 'Apa yang boleh saya pelajari? Bagaimana saya boleh berkembang? Bagaimana saya boleh menggunakan kegagalan ini demi kebaikan?," katanya lagi.