Pencipta manga Jepun Dragon Ball, Akira Toriyama meninggal dunia
Afiezy Azaman
Mac 8, 2024 12:49 MYT
Mac 8, 2024 12:49 MYT
PENCIPTA Dragon Ball, salah satu komik Jepun yang paling berpengaruh dan terlaris sepanjang zaman menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun, awal bulan ini.
Mendiang Akira Toriyama meninggal dunia akibat hematoma subdural iaitu sejenis pendarahan berhampiran otak.
Dragon Ball sangat popular di seluruh dunia dan siri komik itu juga telah melahirkan versi kartun animasi dan filem.
Dilahirkan di Nagoya, Jepun pada tahun 1955, Toriyama menghasilkan karya Dragon Ball pada 1984 yang mengisahkan pengembaraan Goku dan rakan-rakannya menjadikan ia anime paling diminati dan ikonik sepanjang zaman.
Menurut kenyataan dari laman web Dragon Ball, mendiang Toriyama meninggal dunia pada 1 Mac lalu dan hanya keluarga dan rakan terdekat menghadiri pengebumiannya.
"Berikutan hasrat beliau untuk ketenangan, kami dengan hormatnya memaklumkan kepada anda bahawa kami tidak akan menerima bunga, hadiah takziah, kunjungan, persembahan dan lain-lain," katanya.
Kenyataan itu turut mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh para peminat seluruh dunia kepada karya-karya milik Toriyama seperti Dragon Ball, Dragon Ball Z, Dragon Ball Super, Sand Land dan banyak lagi.
Mendiang Toriyama juga dilaporkan masih mempunyai beberapa karya yang sedang dalam pembikinan.