Penangan beg LV, 200 ribu kongsi status 'Datuk Seri Vida'
Madiha Abdullah
April 14, 2016 18:30 MYT
April 14, 2016 18:30 MYT
JIKA anda berpeluang memiliki sebuah beg tangan berjenama mewah berharga ribuan ringgit, tentunya anda tidak akan menolak bukan?
Justeru tidak hairanlah, apabila pengasas Qu Puteh, Datuk Seri Vida, menawarkan untuk memberikan beg jenama Louis Vuitton secara percuma, ramai yang teruja.
Syaratnya mudah, iaitu kongsikan sahaja status yang dimuat naik beliau.
Namun sayangnya, harapan kira-kira 200,000 pengguna Facebook yang berkongsikan status itu, musnah apabila akaun DSV - Datuk Seri Vida yang memuat naik status itu, dilaporkan palsu.
Akaun Facebook Datuk Seri Vida membuat pengesahan berkenaan, namun cubaan untuk mendapatkan kepastian sama ada ia adalah akaun rasmi, gagal apabila akaun itu pula tidak dapat diakses.
Bukan itu sahaja, ada juga yang mempertikaikan keaslian beg tangan berkenaan.
Semakan mendapati beg Louis Vuitton asli dari model Damier Azur itu berharga kira-kira RM8,000.