Penanaman anggur jana ekonomi agropelancongan di Marang

Hafizi Rosli
November 12, 2022 11:25 MYT
Pengusaha tanaman anggur dan pemilik Pinehill Garden, Mohammad Salleh Angullia memaklumkan, ditamannya kini terdapat 30 spesies anggur dan 120 pohon yang boleh dituai buahnya dua kali setahun - Foto/Mohammad Salleh Angullia
TERENGGANU: Penanaman anggur di Malaysia sememangnya perlu mengambil kira pelbagai faktor terutamanya suhu dan sinaran cahaya matahari yang bersesuaian.
Bagi pengusaha tanaman anggur dan pemilik Pinehill Garden di Marang, Terengganu Mohammad Salleh Angullia, teknik tanaman anggur merangkumi beberapa faktor terutamanya jumlah taburan hujan dan sinaran matahari yang mencukupi serta teknik pembajaan yang tepat.
"Buah anggur ini tidak boleh terlalu terdedah kepada taburan hujan yang terlalu tinggi dan kelembapannya perlu dipelihara. Melihat kepada iklim tropika dan faktor cuaca di Malaysia, anggur hanya boleh ditanam di bawah bumbung lutsinar.
“Air hujan juga perlu dielakkan dari terkena pada pada pohon anggur itu, cahaya matahari pula membolehkan buah anggur hidup subur sekali gus mengurangkan risiko jangkitan,” kata Mohammad Salleh, ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.
Bermula sebagai hobi, anak kelahiran tempatan ini berkata, impiannya untuk menjayakan penanaman anggur ini ternyata membuahkan hasil.
Agropelancongan | Anggur subur di Terengganu
Menurutnya, setakat ini, hasil tuaiannya mampu mencecah 150 kilogram setahun.
Berkongsi pengalamannya, Mohammad Salleh berkata, kebanyakan benih anggur diimport dari Ukraine dan merupakan tiga jenis yang sesuai untuk dimakan dan diminum.
Tempoh tuaian pula memakan masa sehingga enam bulan, ujarnya.
"Kerjaya ini bermula sebagai hobi sahaja, minat saya terus bercambah dan saya bernekad untuk berusaha mempelajari cara penanamannya dari pengusaha tempatan dan luar negara,” tambahnya.
"Setakat ini, kebun ini mampu menghasilkan lebih 30 jenis buah anggur (benih diimport dari Ukraine) yang dihasilkan dari 120 pohon anggur,” katanya.
PInehill Garden kini dikenali oleh pengunjung tempatan dan luar dan menjadi tarikan agropelancongan di Terengganu.
Ini kerana orang ramai yang hadir juga turut berpeluang mengetahui teknik penanaman anggur melalui perkongsian pengusahanya.
Lokasi Pinehill Garden ini strategik, sambil merasa anggur segar, pengunjung juga dapat menikmati keindahan laut dan pemandangan Pulau Kapas.
#anggur #Marang Terengganu #Pinehill Garden #agropelancongan
;