Penampilan isteri tidak seperti didamba, peserta realiti TV mencarut di majlis perkahwinan
Madiha Abdullah
Mac 17, 2018 18:02 MYT
Mac 17, 2018 18:02 MYT
SEORANG lelaki yang merupakan peserta rancangan realiti televisyen di Australia, tidak dapat menahan rasa kecewa apabila melihat wanita yang dipilih produksi penerbitan untuk menjadi isterinya.
Lelaki bernama Sean D itu merupakan peserta rancangan realiti Married At First Sight, sebuah program di mana peserta akan dikahwinkan dengan lelaki atau wanita yang tidak dikenali, yang dipilih berdasarkan ciri-ciri yang telah diberikan.
Dalam deskripsi yang diberikan kepada produksi, Sean, 38 tahun, memberitahu dia mahukan seorang wanita yang "kelakar, setia, fun, tidak takut mencuba sesuatu yang baru dan boleh dipercayai".
Biarpun wanita yang dipilih, Jo, seorang ibu tunggal berusia 39 tahun, menepati kriteria yang diberikan, namun Sean tetap tidak berpuas hati.
Dalam majlis perkahwinan yang disiarkan di saluran Nine Network itu, Sean dilihat menuturkan perkataan "s***" ketika pengantin perempuan berjalan ke arahnya.
Lebih teruk, Sean langsung tidak mampu menahan dirinya daripada mempamerkan reaksi kecewa sepanjang majlis berlangsung.
Portal berita The Sun melaporkan, Sean memberitahu produksi, dia tidak gembira dengan pemilihan Jo.
"Dia (Jo) bukan seperti yang saya bayangkan. Saya tidak merasai perasaan yang sepatutnya saya rasa," kata Sean.
Jo bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza.
"Sean nampak jujur. Saya sukakannya.
"Saya dapat lelaki yang mempunyai ciri yang saya inginkan. Saya rasa macam menang loteri!" kata Jo gembira.
Memasuki musim kelima, rancangan itu sudah 'menyatukan' 24 pasangan, namun hanya dua yang masih kekal sebagai suami isteri.
Kesemua pasangan tidak saling mengenali, sebaliknya hanya bertemu pada hari perkahwinan mereka.