Pemuzik Malaysia ukir nama di Hollywood
Bernama
April 18, 2020 22:06 MYT
April 18, 2020 22:06 MYT
Agak mustahil untuk pemuzik daripada Malaysia mencipta nama dalam industri hiburan di Hollywood kerana di Amerika Syarikat sendiri dibanjiri bakat hebat, namun, seorang lelaki daripada Kuala Lumpur berjaya melakukannya.
Yew Ping Soo, mencipta prestij sendiri apabila pernah bekerja sebagai penerbit audio, jurutera bunyi dan muzik untuk banyak filem Hollywood terkenal termasuk The Lion King, Ferdinand, X-Men: Dark Phoenix, Ralph Breaks the Internet, Aquaman dan Gears 5.
Malah, beliau juga melakar sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama yang terlibat dalam francais filem Star Wars (Solo: A Star Wars Story).
Lebih membanggakan, pemuzik berusia 29 tahun berasal daripada Ampang itu, pernah bekerja dengan jurutera muzik dan komposer terkenal seperti Hans Zimmer, Alan Meyerson, Shawn Murphy, Stephen Lipson, John Powell dan Germaine Franco.
Yew berkata minatnya terhadap muzik tercetus sejak kecil, apabila sering meniru aksi dua abangnya bermain piano sambil mengalunkan irama lagu kanak-kanak, dan pada usia tujuh tahun memutuskan untuk bermain piano.
"Saya beritahu ibu bapa bahawa saya mahu mengikut jejak abang, namun dua abang saya itu telah berhenti belajar bermain piano. Ibu bapa saya berharap saya akan terus bermain piano dan menamatkan silibus piano Gred 8 (Associated Board of the Royal School of Music). Saya berjaya lakukannya dan sejak itu, muzik dan piano adalah sebahagian dari hidup saya," katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama.
Menurut Yew, beliau sering mendengar muzik sambil melakukan kerja rumah dan pada masa sama sentiasa berfikir bagaimana muzik yang didengarnya menerusi fon telinga dihasilkan.
"Saya selalu fikir bagaimana muzik dihasilkan, dirakam dan diadun. Saya terlalu ingin tahu bagaimana muzik permainan video dan filem dirakamkan kerana ia memerlukan orkestra yang melibatkan antara 56 hingga 90 pemuzik. Itu yang menyebabkan saya memilih kerjaya penerbitan dan kejuruteraan muzik," katanya.
Bakat besar dan minat yang mendalam terhadap muzik, telah melayakkan Yew untuk melanjutkan pelajaran di Berklee College of Music di Boston pada usia 23 tahun.
Baginya, sepanjang tempoh berada di Berklee adalah satu pengalaman termanis dalam hidup kerana di situ Yew dapat mengasah kemahirannya dalam bidang muzik dan kejuruteraan audio serta dikelilingi pemuzik handalan serta profesional - yang beliau berpeluang bekerjasama dengan mereka.
Selepas menamatkan pengajian pada 2015, Yew membawa bagasi dan peralatan muziknya, menuju ke Los Angeles untuk mengintai peluang di Hollywood, dan ternyata nasib menyebelahinya apabila ditawarkan menjalani latihan di studio Heitor Pereira, menyaksikan beliau terlibat dalam penerbitan Angry Birds dan Despicable Me 3.
Latihan itu adalah detik permulaan buat Yew apabila ditawarkan kontrak setahun sebagai Pembantu Penerbit Skor kepada komposer terkenal Hollywood John Powell, yang membolehkannya terlibat dalam penerbitan Ferdinand dan Solo: A Star Wars Story pada 2017.
Pengalaman yang dimiliki oleh Yew itu membolehkannya ditawarkan jawatan sebagai penolong jurutera di Studio Penerbitan Hans Zimmer, yang menjadi idolanya sejak kecil lagi.
"Bukan sahaja terlibat dengan projek Zimmer seperti X-Men: Dark Phoenix dan The Lion King, tapi saya juga dapat bekerja dengan seorang lagi idola saya - Alan Meyerson.
"Beliau adalah salah seorang jurutera rakaman dan pengadun skor terhebat di Hollywood. Saya sangat bertuah dapat bekerja dengan beliau dalam beberapa projek seperti Ralph Breaks the Internet, Aquaman dan banyak lagi," menurut Yew, yang kini sedang dalam pembikinan permainan video Star Wars Jedi: Fallen Order.
Bercerita mengenai persiapan dalam tugasannya, Yew berkata sebelum sesuatu penerbitan dijalankan, beliau akan mendalami jalan cerita, muzik dan peralatan muzik studio digunakan, serta mengkaji teknologi muzik dan audio terkini.
Beliau juga bersedia berkongsi kemahiran dan pengalaman yang diperolehnya di Hollywood, China, Hong Kong dan Taiwan dengan industri muzik dan filem Malaysia, demi membangunkan dan mengangkat industri ke tahap antarabangsa.
-- BERNAMA