Pemuzik dari Korea Selatan Dongyang Gozupa ada misi di RWMF 2022

Fadilah Sulaiman
Jun 18, 2022 12:31 MYT
Selain mengetengahkan alunan tradisi Korea ke persada dunia, mereka juga amat teruja untuk mempelajari pengalaman pemuzik RMWF lain. - Astro AWANI.
KUCHING: Pertama kali menjejak kaki ke Bumi Kenyalang, kumpulan pemuzik tradisional dari Korea Selatan, Dongyang Gozupa membawa misi mencari rakan-rakan sejiwa di Rainforest World Music Festival (RWMF) 2022.
Kata pemain ‘percussion’ kumpulan itu, Jang Do Hyuk, selain mengetengahkan alunan tradisi Korea ke persada dunia, mereka juga amat teruja untuk mempelajari pengalaman pemuzik RMWF lain.
“Sejujurnya selepas festival ini kami mahu bermain di pantai. Saya difahamkan RWMF adalah festival dan pasaran muzik terbesar (di rantau ini), jadi saya sangat teruja untuk bertemu dengan artis dan pemuzik tradisional dari serata dunia.
“Kerana saya ingin juga berkolaborasi dengan artis lain memandangkan kumpulan kami tiada penyanyi vokal dan kami hanya ada tiga peralatan muzik jadi sini tempat sesuai untuk mencari kolaborasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui di Damai Beach Resort dekat sini pada Jumaat.
Tambahnya, mereka juga tidak sabar untuk memberi persembahan yang segar kepada semua pencinta muzik yang hadir di festival ini.
Dongyang Gozupa yang bermaksud nada tinggi dari Dongyang, akan memainkan peralatan muzik mereka pada jam 4.00 petang Sabtu di Dewan Lagenda, Kampung Budaya Sarawak (SCV).
“Kami mempersembahkan muzik yang rancak dan bising. Jadi mungkin penonton akan terkejut mendengarnya tetapi mungkin mereka akan menikmati rentak dan irama yang kami dendangkan selain menerima baik muzik kami,” katanya lagi.
Sementara itu, bagi kumpulan Pinanak Sentah dari Siburan, Sarawak pula, ini pengalaman ketiga mereka menyertai RWMF.
Menurut pemain gitar Akinson Dennis, persembahan secara bersemuka tidak dapat dinafikan merupakan cara terbaik menyampaikan muzik campuran moden dan tradisional mereka untuk sampai ke hati pendengar.
“Jadi saya rasa sangat gembira kerana tahun ini RWMF kembali secara fizikal dan kami harap ia akan membawa pendedahan kepada kumpulan kami untuk melangkau lebih jauh lagi.
“Selain itu saya juga rindu untuk berjumpa rakan-rakan artis yang sudah lama tidak berjumpa dan bergembira sama-sama tidak kira ketika memberi atau menyaksikan persembahab di pentas utama itu kelak… itulah yang paling seronok,” katanya.
Acara RWMF 2022 berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad mempersembahkan lebih 60 artis untuk konsert setiap malam dan pelbagai bengkel dikendalikan artis-artis pada sesi petang di Kampung Budaya Sarawak.
#RWMF 2022 #kumpulan pemuzik Korea Selatan #festival muzik #Kampung Budaya Sarawak
;