Pempengaruh media sosial jual van klasik kesayangan demi bina rumah impian
Bernama
Mei 5, 2024 16:00 MYT
Mei 5, 2024 16:00 MYT
KUALA LUMPUR: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, itulah ungkapan sesuai digambarkan kepada seorang pempengaruh media sosial yang menjual sebuah van klasik, Volkswagen Kombi dengan harga mencecah RM200,000.
Pemilik kenderaan tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Pokjacks, 35, berkata dia tidak menyangka ada individu sanggup membeli van buatan 1978 itu pada harga tinggi.
Meskipun berat hati melepaskan van kesayangannya itu, Pokjacks mengambil keputusan menjual kenderaan berkenaan bagi merealisasikan impiannya untuk membina sebuah rumah di tanah kelahiran ibunya di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan.
"Van Kombi ini ada nilai sentimental pada diri dan keluarga kerana saya pernah memandu ke Pattaya dan Bangkok, Thailand pada 2022, namun demi membina tempat berteduh yang lebih selesa untuk isteri dan empat anak, saya rela korbankan," katanya kepada Bernama.
Berkongsi lanjut, bekas anggota bomba itu berkata dia menerima mesej melalui WhatsApp lebih sebulan lepas daripada seorang individu bertanyakan jika dia berminat untuk menjual van berkenaan.
"Dengan spontan saya kata kalau ada yang sanggup beli dengan harga RM200,000, saya jual...dua minggu kemudian, individu sama mesej sekali lagi menyatakan kesungguhan nak beli van ini pada harga yang saya tawarkan dan meminta untuk kongsi lokasi rumah untuk dia datang melihat lebih dekat," katanya.
Menurut Pokjacks lelaki berkenaan bersama rakan kemudian datang dari Jerteh, Terengganu ke rumahnya di Tumpat, Kelantan sebelum membuat pembayaran deposit RM50,000.
Katanya selepas selesai urusan dokumentasi termasuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), van kombi itu diserahkan kepada pemilik baharu pada 29 April lepas.
Pokjacks berkata dia memiliki van kombi itu setelah membelinya daripada seorang lelaki dari Pulau Pinang pada 2014 dengan harga sekitar RM75,000 sebelum membelanjakan hampir RM85,000 untuk diubah suai.
"Restorasi pada van Kombi ini antaranya melibatkan pemasangan lampu jenis lucas spotlight dan warna van pula dicat dengan warna oren, warna ketika tahun ia dihasilkan bagi menampakkan identiti asal Kombi, selain ia dilengkapi aksesori tambahan seperti televisyen 32 inci, kamera papan pemuka dan sistem audio berkualiti," katanya.
Pokjacks yang menjalankan perniagaaan dalam talian berkata selain van Kombi, dia juga memiliki kenderaan klasik lain termasuk Beetle (1964), Lambretta (1958) serta beberapa buah vespa dan motosikal model lama.
"Saya memang ada niat nak jual sedikit demi sedikit kenderaan klasik yang saya ada bagi mengumpul dana membuat rumah sendiri, tapi mungkin Allah SWT hantar pertolongan segera," katanya sambil menambah pembinaan rumah baharunya dijangka bermula Julai depan.
-- BERNAMA