Pemenang 'Anjing Terhodoh Dunia' 2024 diumumkan
Agensi
Jun 23, 2024 10:45 MYT
Jun 23, 2024 10:45 MYT
CALIFORNIA : Seekor anjing di Amerika Syarikat dinobatkan sebagai anjing paling hodoh di dunia.
Anjing Pekingese berusia lapan tahun yang diberi nama Wild Thang itu memenangi Pertandingan Anjing Terhodoh Dunia 2024 di California, pada Jumaat.
Haiwan itu telah menyertai pertandingan itu sebanyak lima kali dan pernah memenangi tempat kedua tiga kali sebelum meraih tempat pertama tahun ini.
Menurut biografi Wild Thang, anjing itu pernah dijangkiti virus 'Canine Distemper' di usia mudanya.
"Wild Thang dapat bertahan tetapi mengalami kecacatan kekal.
"Giginya tidak tumbuh menyebabkan lidah sentiasa terjelir dan kaki kanan depan sentiasa bergerak.
"Selain kecacatan fizikal itu anjing berkenaan dalam keadaan yang sihat," kata biografi itu.
Anjing berkenaan dan pemiliknya, Ann Lewis membawa pulang hadiah wang tunai AS$5,000 (RM23,470).
Menurut laman web penganjur, Pertandingan Anjing Terhodoh Dunia telah dilaksanakan selama hampir 50 tahun bagi meraikan ketidaksempurnaan yang membuatkan semua anjing unik dan istimewa.
"Pertandingan ini tidak menjadikan anjing hodoh sebagai bahan jenaka tetapi berseronok bersama beberapa watak yang indah dan memberitahu dunia bahawa anjing-anjing ini sangat cantik," katanya.
Tempat kedua pertandingan itu dimenangi oleh anjing baka Pug bernama Rome manakala tempat ketiga dimenangi Daisy Mae yang merupakan anjing penyelamat dengan masing-masing berusia 14 tahun. - Agensi