Pemandu Uber berpeluang ke Rio saksikan anak bertanding di Olimpik

Syafique Shuib
Ogos 7, 2016 09:17 MYT
Liz Willock (kiri) kongsi kisah Ellis Hill (kanan) di laman web GoFundMe untuk membantu membiayai perjalanannya ke Brazil. - Gambar: GoFundMe
SEORANG penumpang Uber berjaya menggunakan sebuah laman web penajaan dana untuk merealisasikan impian seorang ayah untuk melihat anak lelakinya beraksi di temasya Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil.
Menerusi laman web GoFundMe, Liz Willock berkongsi kisahnya ketika menaiki Uber yang dipandu oleh Ellis Hill.
Hill merupakan ayah kepada seorang atlet acara trek dan padang dan mewakili Amerika Syarikat di acara berprestij itu.
“Apabila dia (Willock) bertanya jika saya akan ke Rio de Janeiro, saya memberitahunya tidak, kerana tidak mampu,” katanya kepada majalah People.
Willock kebetulan bekerja di sektor pelancongan dan mempunyai kenalan bagi membantu untuk mengatur perjalanan ini.
Beberapa hari setelah kisahnya dikongsi di laman web GoFundMe, beliau mendapat AS$7,500 hasil bantuan orang ramai.
“Sudah beberapa bulan saya tidak melihat anak saya kerana beliau sibuk dengan latihan. Saya tidak sabar untuk bertemu beliau dan bersorak memberi sokongan,” katanya lagi.
#Brazil #GoFundMe #Olimpik 2016 #Rio de Janeiro
;