Pemandu lori raih rezeki tambahan jual pelita buluh

Bernama
April 8, 2022 15:08 MYT
Mohamad Azmizan Abdul Ghani, 38, membawa beberapa batang pelita buluh yang telah siap untuk dihantar kepada pelanggan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Merchang di sini. - fotoBERNAMA
MARANG: Kerinduan terhadap nostalgia Ramadan zaman kanak-kanak memberi cetusan idea kepada seorang pemandu lori untuk membuat pelita buluh bagi menggantikan lampu hiasan, serta menambah seri rumahnya pada waktu malam sepanjang bulan yang mulia ini.
Mohamad Azmizan Abdul Ghani, 38, berkata dia bagaimanapun tidak menyangka keunikan pelita buluh buatannya itu telah mencuri perhatian ramai dan mereka memintanya untuk membuka tempahan kerana ia sukar didapati di pasaran pada masa ini.
"Saya mula buat sendiri pelita buluh ini pada Ramadan tahun lepas untuk mengisi masa lapang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa di seluruh negara ketika itu.
"Apabila saya muat naik gambar dan video di Facebook dan WhatsApp, ramai yang puji pelita buluh itu sangat cantik dan unik. Saya dapat tempahan 500 batang buluh sepanjang Ramadan tahun lepas dan kini, saya semakin serius mengusahakannya sebagai sumber pendapatan kedua," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya dekat Kampung Merchang di sini, hari ini.
Bagi melancarkan jualan pelita buluhnya, Mohamad Azmizan turut dibantu isterinya, Rorida Awi, 38, dalam urusan tempahan dan rakannya Mohd Zulbaidillah Dzulkifli, 36, untuk menebang 'buluh minyak' di sekitar kampung tersebut.
Kebiasaannya, Mohamad Azmizan dan Mohd Zulbaidillah akan keluar mencari buluh minyak di tanah milik penduduk kampung pada waktu pagi dan lewat petang.
Namun, menurut Mohamad Azmizan keadaan cuaca yang tidak menentu pada Ramadan kali ini agak mencabar, ditambah terpaksa berhadapan ancaman haiwan berbisa seperti ular dan lipan yang sering menjadikan rongga buluh sebagai 'habitat semula jadi' haiwan itu.
"Biasanya, kami cari buluh selama dua jam dan jika lebih banyak tempahan, lebih banyak masa diperlukan. Selain orang perseorangan, ada juga yang membeli secara borong untuk menjualnya semula.
"Pelanggan paling jauh yang pernah buat tempahan setakat ini ialah dari Sarawak dan selatan tanah air dan biasanya saya akan beri mereka nombor telefon pengusaha pelita buluh yang berdekatan untuk berkongsi rezeki," katanya yang sering menggunakan khidmat rakan-rakan pemandu lori untuk penghantaran pelita buluhnya.
Bapa kepada dua anak itu berkata harga pelita buluh yang dijualnya adalah sangat berpatutan iaitu RM10 sebatang (tanpa kaki) manakala RM13 sebatang (dengan kaki) dan setiap batang buluh mempunyai tiga ruas dengan enam sumbu api pelita.
Setakat ini (hari keenam Ramadan), beliau telah mendapat tempahan lebih 300 batang pelita buluh termasuk daripada peserta pertandingan 'pelita raya' yang sering dianjurkan kerajaan Terengganu setiap kali Ramadan.
"Ramai yang pelik kenapa saya jual murah sangat, tapi ikhlas saya beritahu kerana modal utama (buluh minyak) sangat mudah didapati di sekitar kampung ini...paling penting saya ingin semua pembeli merasai keceriaan dan keseronokan menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan hiasan lampu tradisional ini.
"Selain itu, niat saya nak perkenalkan semula tradisi lama nenek moyang kepada generasi muda dan saya turut ajar pembeli cara pasang sumbu dan nasihatkan mereka agar tidak mendedahkan pelita di kawasan terlalu panas atau kerap hujan agar ia tahan lama dan boleh digunakan sehingga tiga kali Ramadan," katanya.
-- BERNAMA
#Ramadan #pelita buluh #mohd azmizan abdul ghani #Hari Raya Aidilfitri
;