Peluh berlebihan beri kesan kesihatan dan sosial kepada pesakit - Pakar
Afiezy Azaman
November 7, 2019 19:15 MYT
November 7, 2019 19:15 MYT
Kurang kesedaran mengenai masalah peluh berlebihan atau hyperhidrosis membuatkan ramai yang menghidapinya tidak mendapatkan rawatan dan menganggap ia perkara yang normal.
Menurut Pakar Bedah Kardiotorasik, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon, mereka yang mempunyai masalah ini memerlukan rawatan supaya kesan negatifnya terhadap kesihatan dan kehidupan sosial dapat dihindari.
“Ada dua kategori, satu Hyperhidrosis Focal (setempat) dan satu lagi Hyperhidrosis General (menyeluruh). Focal ini sebab dia kita tidak dapat pastikan punca namun coraknya memang tetap seperti di tapak tangan, tapak kaki, muka atau kepala manakala Hyperhidrosis General pula berpeluh satu badan.
“Simpton ini boleh dikesan ketika berusia 15 tahun apabila metabolisma tinggi dalam badan dan akan beransur hilang hanya apabila usia 50 tahun ke atas apabila metabolisma semakin berkurangan,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Awani Pagi terbitan Astro AWANI, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dr Jeffrey turut menyatakan, kebanyakan pesakit yang menghadapi masalah peluh berlebihan adalah di Asia Tenggara kerana disebabkan cuaca yang panas.
“Orang yang ada Hyperhidrosis ini berbeza dengan orang biasa, berada dalam bilik ada pendingin hawa pun dia berpeluh, ketika cemas, resah, gementar peluh dia lebih daripada orang normal yang berpeluh dan ada kaitan dengan Anxiety sebab itu tiada pencegahan boleh dibuat.
“Bagi Hiperhidrosis Focal, 50 peratus kebarangkalian mendapat masalah ini adalah disebabkan genetik dan 50 peratus lagi kita tidak dapat ketahui puncanya, justeru memang tidak dapat dielakkan,” jelasnya.
Tambah Dr Jeffrey, sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal pesakit akan menghadapi masalah melakukan aktiviti harian dan memberi kesan sosial kepadanya.
Katanya, pesakit akan sukar melakukan aktiviti harian seperti memandu, memegang sesuatu, menulis dan kesan sosialnya adalah pesakit akan berasa rendah diri, mengasingkan, yang membawa kemudaratan psikologi.
“Risiko penyakit juga boleh terjadi seperti ‘secondary infection’ jangkitan jika kulit berpeluh terlampau basah, bakteria dan kulat boleh terjadi di celahan jari pesakit.
"Malah, kesan lebih buruk boleh terjadi kepada mereka yang berada dalam pekerjaan menggunakan peralatan seperti pisau dan alatan elektrik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Jeffrey berkata pelbagai rawatan yang boleh dilakukan oleh mereka yang mengalami masalah peluh berlebihan namun ia bergantung kepada keadaan atau peringkat masalah yang dihadapi.
Rawatan peringkat awal hanya akan diberikan ubat sapu bertindak sebagai ubat pengering, disapukan di bahagian anggota yang mempunyai masalah peluh berlebihan.
“Selain itu, terdapat juga ubat yang boleh dimakan untuk kurangkan peluh namun kami tidak menggalakkannya kerana terdapat kesan sampingan seperti tekak kering, hidung kering dan mata kering kerana ia tidak dikhaskan untuk mengurangkan peluh.
“Rawatan lain yang boleh digunakan adalah botox yang dicucuk di bahagian yang mengalami masalah peluh berlebihan namun ia tidak tahan lama dan memerlukan ulangan serta kesan jangka panjangnya tidak diketahui serta mahal.
“Boleh juga lakukan rawatan Iontophoresis dengan meletakkan tapak tangan atau tapak kaki di dalam air dan berikan sedikit arus elektrik untuk mengurangkan sensitivity saraf, tapi pesakit selalunya tidak tahan kerana perlu lakukan dua kali seminggu dalam tempoh enam bulan untuk melihat kesannya,” katanya.
Bagaimanapun, Dr Jeffrey berkata pembedahan boleh dilakukan sekiranya semua rawatan itu tidak berkesan dan membawa kepada kemudaratan yang lebih buruk.
“Apa yang akan dilakukan adalah tebukan kecil lima millimeter di bahagian saraf ketiak dan kaedah ini lebih efektif dan berkesan sebanyak 99 peratus,” jelas beliau.
Justeru itu, beliau menyeru kepada mereka yang mempunyai masalah peluh berlebihan agar segera mendapatkan rawatan bagi mengelakkan masalah kesihatan dan menganggu aktiviti harian.
#awani pagi
#Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon
#Hyperhidrosis
#Hyperhidrosis Focal
#Hyperhidrosis General
#IJN
#Institut Jantung Negara
#kesihatan
#metabolisma
#Pakar Bedar Kardiotorasik
#peluh berlebihan
#pesakit
#rawatan
#sosial