Pelayan Pokemon Go! tergendala selepas dilancar di 26 buah negara
Madiha Abdullah
Julai 17, 2016 13:02 MYT
Julai 17, 2016 13:02 MYT
SEBUAH kumpulan penggodam yang menggelarkan diri mereka PoodleCorp, mengaku bertanggungjawab menyebabkan aplikasi permainan Pokemon Go! tidak dapat diakses pada Sabtu.
Pengakuan itu dibuat menerusi akaun Twitter mereka.
Laporan portal The Independent menyebut penggodam menyerang pelayan (server) aplikasi itu dengan cara menghantar terlalu banyak request, sehingga ia hilang keupayaan untuk menampungnya.
Kumpulan penggodam yang sama juga dikatakan telah berjaya menggodam beberapa akaun YouTube sebelum ini.
Bagaimanapun, dakwaan kumpulan itu tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Ada pihak mendakwa masalah yang timbul kemungkinan kerana aplikasi itu mula boleh dimuat turun di 26 buah negara, bermula semalam.
Di laman sosial, ramai pengguna meluahkan keresahan apabila permainan itu tiba-tiba sahaja tidak boleh diakses.
Malah ada yang kecewa apabila masalah itu terjadi ketika permainan sedang rancak berjalan.
Menerusi akaun Twitter rasmi Pokemon Go!, pelayan aplikasi itu masih belum boleh digunakan sepenuhnya terutama di Amerika Syarikat.