Pelarian Syria jual pen tepi jalan kini pemilik bakeri
Madiha Abdullah
Disember 11, 2015 10:23 MYT
Disember 11, 2015 10:23 MYT
MASIH ingatkah anda dengan cerita seorang pelarian Syria yang menjual pen di tepi jalan sambil mendukung anaknya?
Mungkin ini adalah pengakhiran yang gembira dalam kisah lelaki bernama Abdul Halim al-Attar ini.
Dia yang menerima bantuan derma berjumlah kira-kira AS$191,000 (RM814,586) dari masyarakat dunia, kini memiliki sebuah kedai roti, sebuah restoran dan sebuah kedai kebab.
Dengan perniagaan yang dimilikinya itu, hidup Abdul Halim kini sudah jauh berubah.
Dia yang kini menetap di Beirut, Lubnan, bagaimanapun tidak melupakan rakan-rakan senegaranya yang senasib dan terpaksa menjadi pelarian.
Kesemua perniagaan yang dimilikinya menggunakan khidmat pelarian dari Syria sebagai pekerja.
Buat masa ini, 16 orang pelarian Syria telah diambil bekerja dengannya.
Ogos lalu, seorang aktivis dari Norway, Gissur Simonarson memuat naik gambar Abdul Halim dan ia pantas mengundang simpati netizen. Simonarson kemudiannya menubuhkan tabung dan ia berjaya membantu Abdul Halim memulakan kehidupan baharu bersama dua anaknya.