Pelanggan serbu butik: 'Jangan jadikan perniagaan alat manipulasi agama'
Madiha Abdullah
April 4, 2016 21:46 MYT
April 4, 2016 21:46 MYT
Sana-sini masih memperkatakan isu pembeli tudung jenama Fareeda yang bertindak 'ganas' menyerbu butik untuk mendapatkan koleksi terbaharu keluaran jenama berkenaan.
Selain tindakan pelanggan yang disifatkan sebagai keterlaluan, reaksi pemilik butik juga turut dipersoal ramai.
Seorang pengguna Instagram, Hasrizal Abdul Jamil, antara yang lantang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan situasi ini.
Dalam status yang dimuat naik pada Ahad, Hasrizal yang juga seorang guru, tegas menyatakan pendapatnya bahawa terlalu banyak yang tidak kena pada cara perniagaan yang diamalkan butik tersebut.
Kata Hasrizal, pelanggan tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya, apatah lagi butik berkenaan telah mengiklankan satu pertandingan rakaman video yang memaparkan kegilaan pelanggan menyerbu butik, sehari sebelum hari kejadian.
Ia seolah-olah menggambarkan pihak pemilik dan pengurusan sudah tahu apa yang akan berlaku, namun tidak mengambil inisiatif untuk mengelakkannya.
Dia turut menegur cara admin yang menguruskan akaun Facebook Fareeda...Nyata Jelita yang disifatkan agak angkuh dan sarkastik dalam membalas komen netizen yang kurang senang dengan cara promosi mereka.
"Ditambah pula dengan keangkuhan admin halaman FB Fareeda yang sarkastik dengan semua teguran tanpa ada sedikit pun rasa bertanggungjawab," tulis Hasrizal.
Di akhir status itu, Hasrizal yang juga Timbalan Pengarah Khalifah Model School berharap agar mereka yang terbabit bermuhasabah kerana rezeki milik Allah dan ia tidak wajar disalahgunakan.