Pelancongan angkasa: Mampu direalisasi atau mampu tengok?
Hasimi Muhamad
Disember 26, 2023 11:00 MYT
Disember 26, 2023 11:00 MYT
PADA masa depan, meneroka angkasa lepas mungkin bukan hanya sinonim untuk angkasawan.
Dengan perkembangan ternologi, ruang cakerawala tidak lagi menjadi lokasi mustahil sebagai destinasi pelancongan baharu untuk diterokai manusia.
Kejayaan demi kejayaan angkasawan ke angkasa, membuka minat banyak syarikat meneroka ruang tersebut untuk orang awam.
Mampukah pelancongan angkasa direalisasikan atau ia sekadar mampu tengok?
Permintaan untuk pelancongan angkasa lepas merekodkan pertumbuhan tahunan sebanyak 14.0 peratus pada 2023, dengan nilai pasaran dijangka mencecah AS$851.7 juta menjelang 2024.
Sepanjang tempoh ramalan, industri pelancongan angkasa global dijangka menunjukkan Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 19.8 peratus, mencapai nilai AS$5,191.7 juta menjelang 2034.
Ada ke yang mampu ke angkasa lepas? Dan syarikat mana yang menyediakan perkhidmatan komersial ini?
Pelancongan angkasa melibatkan perjalanan komersial ke angkasa lepas untuk tujuan rekreasi, hiburan, atau pengembaraan.
Beberapa syarikat berusaha menjadikan perjalanan angkasa lebih mudah diakses oleh orang awam.
Syarikat seperti Blue Origin dan Virgin Galactic memberi tumpuan kepada pelancongan angkasa suborbital dan biasanya berlangsung beberapa minit.
Pada masa ini, perjalanan angkasa masih berada di luar kemampuan kebanyakan orang dari segi harga.
Perjalanan suborbital selama 90 minit di atas kapal angkasa milik Virgin Galactic memerlukan kos sekurang-kurangnya AS$450,000.
Namun, bayaran ini dijangka turun sekurang-kurangnya separuh dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
SpaceX, yang dimiliki oleh Elon Musk turut memainkan peranan besar dalam merangsang minat dan perkembangan pelancongan angkasa lepas.
Syarikat ini sedang mengembangkan roket yang boleh membawa penumpang ke angkasa, termasuk misi orbital dan penerbangan mengelilingi bulan.
Pada April 2022, kapsul SpaceX membawa tiga ahli perniagaan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Mereka menghabiskan lebih dua minggu di stesen berkenaan dengan bayaran AS$55 juta setiap seorang termasuk penginapan dan makanan.
Amerika Utara ialah pasaran utama untuk pelancongan angkasa lepas, dengan bahagian pasaran lebih daripada 40 peratus.
Asia-Pasifik mengikut rapat, dengan bahagian pasaran kira-kira 30 peratus.
Dalam masa sama, industri pelancongan angkasa China diramalkan bernilai AS$401 juta menjelang 2027, menjadikannya kedua terbesar di dunia.
Di China, di mana operasi angkasa lepas kebanyakannya dijalankan oleh kerajaan, sudah membangunkan roket untuk pelancaran satelit komersial.
Syarikat roket Akademi Sains China mengumumkan rancangan membawa pelancong angkasa seawal 2024.
Pelancongan angkasa lepas juga bersedia untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu ejen pelancongan, jurutera makanan, arkitek, serta peguam angkasa.
Menariknya, ketersediaan akses internet yang disediakan daripada Starlink mungkin membuka peluang untuk pengembangan aplikasi dan teknologi baharu yang berguna dalam konteks pelancongan angkasa.
Ini termasuk penggunaan teknologi realiti maya, pemantauan jarak jauh, dan aplikasi lain yang memerlukan komunikasi data yang pantas.
Walaupun masih pada tahap awal, pembangunan dan eksplorasi dalam sektor ini terus berlangsung, dan masa depan pelancongan angkasa mungkin menjanjikan lebih banyak peluang.