Pelajar perempuan cemerlang SPM tinggal menumpang di pusat snuker
Madiha Abdullah
Mac 19, 2017 18:57 MYT
Mac 19, 2017 18:57 MYT
UJIAN datang dalam hidup seseorang manusia melalui pelbagai cara, namun jika kita cekal bersemangat meneruskan hidup, pasti kita akan dapat melihat hikmah di sebaliknya.
Mungkin itu pengajaran yang boleh diperoleh daripada kisah seorang pelajar yang baru sahaja menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, Khamis lalu.
Di sebalik kekurangan dan dugaan yang dihadapinya, Farah Marcella, pelajar SMK Seri Kota Puteri Pasir Gudang, Johor, cemerlang dengan keputusan 6A.
Melalui satu perkongsian di akaun Facebook, guru Farah, Puan Suraya Abdul Rahim menceritakan, Farah bersama adik beradiknya ditinggalkan bapa tanpa tempat untuk berteduh.
Kerap kali hilang dari sekolah, Farah pernah dibuang sekolah ketika di tingkatan empat, sebelum kembali mendaftar diri untuk tingkatan lima.
Namun mungkin kerana masalah peribadinya, Farah tidak dapat hadir ke sekolah seperti pelajar lain.
Sedar potensi yang ada pada pelajar itu, Farah kemudiannya diambil tinggal bersamanya kerana bimbang pelajar itu akan hanyut tanpa bimbingan.
Hanya dua bulan dipersiapkan untuk SPM, kerja keras Farah, dibantu dengan komitmen daripada para guru, dia berjaya mendapat keputusan yang baik.
Menurut maklumat dari laman sosial, Farah dan adik beradiknya kini dibawah jagaan ibunya yang tinggal menumpang di sebuah pusat snuker.
Astro AWANI kini sedang berusaha menghubungi Puan Suraya untuk mendapatkan reaksi Farah mengenai kisah kejayaannya itu.
Satu tabung untuk membantu Farah dan keluarganya telah dilancarkan oleh Suraya dengan kerjasama abangnya, Zaikhan.