Pelajar didakwa maut akibat senggugut, doktor minta masyarakat henti spekulasi
Madiha Abdullah
Jun 21, 2016 13:31 MYT
Jun 21, 2016 13:31 MYT
SELEPAS tersebarnya cerita kononnya seorang pelajar perempuan meninggal dunia akibat sakit datang bulan, seorang doktor perubatan tampil memberi penjelasan.
Melalui akaun Twitter MedTweetMY dan peribadinya, Dr.Khairul Hafidz meminta agar orang ramai tidak cepat membuat konklusi berdasarkan cerita yang disebar dan tidak dipastikan kesahihannya.
Kata Dr.Khairul, banyak kemungkinan yang boleh terjadi dalam kes pelajar terbabit, antaranya masalah jantung, pendarahan otak dan pendarahan dalaman.
Dia juga membawa orang ramai untuk memahami perbezaan antara gejala dan penyakit.
Sakit datang bulan, atau biasa dikenali sebagai period pain, adalah gejala dan bukan penyakit.
Jelasnya, kematian adalah berpunca daripada penyakit dan bukan gejala. Ada kemungkinan, pelajar tersebut hanya mengalami gejala seperti sakit datang bulan tetapi diagnosisnya mungkin masalah lain, seperti apendiks atau masalah pada ovari.
Justeru, apa yang perlu disiasat kini adalah penyakit yang menjadi punca kematian.
Minggu lalu, kecoh di media sosial berkenaan seorang pelajar institusi pengajian tinggi di Melaka yang didakwa meninggal dunia kerana sakit datang bulan.