Pelajar buat kejutan kepada guru Baratanatyam menerusi 'Guru Samarpanam'

Umavathi Ramayah
Disember 31, 2023 12:49 MYT
Meskipun sudah lebih 50 tahun mencurahkan bakti dalam Baratanatyam, Jaya Gowri Krishnasamy masih lagi meneruskan minatnya untuk mengajar tarian itu. - Foto Meor Mohamad Noh
TERLIBAT lebih setengah abad dalam tarian tradisional Baratanatyam, Smt Jaya Gowri Krishnasamy masih lagi mampu mempersonakan audiensnya dengan gerak geri tangkas badan serta kerlingan mata yang menggamit perhatian ketika membuat persembahan.
Mereka yang menyaksikan persembahan beliau pastinya kagum dengan setiap pergerakannya.
Meskipun sudah lebih 50 tahun mencurahkan bakti dalam Baratanatyam, Jaya Gowri masih lagi meneruskan minatnya untuk mengajar tarian itu.
Sepanjang kariernya, beliau sudah melahirkan lebih 1,000 pelajar serta kira-kira 100 guru menerusi 'Arrangetram'.
'Arrangetram' adalah istilah yang digunakan dalam seni tari India khususnya dalam Baratanatyam, di mana setelah seseorang pelajar menguasai kesemua 'margam' (modul) termasuk Varnam, Alarippu, Jatiswaram, Shabdam, Padam, Kuravanji dan Tillana, perlu mempersembahkan repertoir penuhnya di hadapan audiens.
'Arrangetram' yang selalunya mengambil masa antara dua dan empat jam itu dianggap penting kerana ia memberi pengiktirafan kepada seseorang pelajar, sebelum melayakkan dia mengajar orang lain.
Baru-baru ini, sebagai menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jaya Gowri, pelajar dari dalam dan luar negara yang pernah menuntut dengan beliau menganjurkan 'Guru Samarpanam'.
Dalam bahasa Sanskrit, 'Samarpanam' bermaksud persembahan dan dalam konteks tradisi India melibatkan perhubungan guru-murid, 'Guru Samarpanam' bermaksud persembahan untuk menghargai jasa dan pengorbanan seorang guru.
Tidak mengenali satu sama lain atau barangkali hanya berkenalan menerusi kumpulan WhatsApp, namun ia tidak menghalang pelajar dan bekas pelajar Jaya Gowri untuk berkumpul membincangkan mengenai pemilihan lagu dan membuat latihan sama-sama untuk dipersembahkan pada majlis itu.
Ia kemudian diterjemahkan di hadapan guru mereka (Jaya Gowri), ibu bapa dan orang ramai. Selain saudara-mara, majlis yang dianjurkan secara percuma itu turut dihadiri orang ramai.
Menariknya, 'Guru Samarpanam' yang berlangsung di Dewan Sri Maha Mariamman, Butterworth, Pulau Pinang, itu merupakan satu kejutan besar kepada Jaya Gowri kerana ia dianjurkan di luar pengetahuannya.
"Saya langsung tidak menyangka penganjuran sebesar ini. Saya tidak dimaklumkan oleh anak-anak saya (pelajar), sebaliknya saya hanya dijemput sebagai tetamu untuk menghadiri satu persembahan tradisional.
"Meskipun sesuatu yang mengejutkan, ini merupakan satu detik yang cukup berharga dan sukar dilupakan dalam perjalanan karier saya lebih 50 tahun," ujarnya.
Seperti biasa, audiens yang hadir pada majlis itu terpukau dengan tarian yang dipersembahan Jaya Gowri pada penghujung majlis itu.
Bergurukan K N Dandayudhapani Pillai, beliau menamatkan 'Arrangetram' pada usia 15 tahun di Chennai, India. Beliau kemudian kembali ke Malaysia dan mula mengajar tarian klasik itu pada usia 20 tahun.
Dandayudhapani Pillai merupakan guru Baratanatyam terkemuka di India yang pernah mengajar bekas Ketua Menteri Tamil Nadu, J Jayalalithaa dan pelakon-pelakon seperti Vyjayanthimala dan Sri Vidya.
#baratanatyam #tarian klasik India #Arrangetram #Gowri Krishnasamy
;